Gaya Hidup

"Jangan Jadikan Satu Tekanan Untuk Membawa Anak kecil Ke Pusat Beli Belah Atau Ke Tempat Awam" - Dr. Intan, Pensyarah Psikologi

gempak
Badrul Hashim
12/06/2020
08:45 MYT
Sponsor Banner
"Jangan Jadikan Satu Tekanan Untuk Membawa Anak kecil Ke Pusat Beli Belah Atau Ke Tempat Awam" - Dr. Intan, Pensyarah Psikologi
Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sudahpun bermula, masih lagi ada perkara yang perlu diambil kira demi keselamatan bersama.
Banyak keluhan di media sosial apabila mereka menghadapi masalah untuk membawa anak kecil keluar daripada rumah, terutamanya apabila perlu membeli barangan keperluan dan sebagainya.
Sebahagian tempat membeli belah masih melarang ibu bapa membawa anak kecil dan tidak membenarkan mereka masuk, demi keselamatan anak tersebut. Perkara tersebut menimbulkan sedikit tekanan kepada ibu bapa.
Gempak bertanyakan perkara tersebut kepada Profesor Dr. Intan Hashimah Mohd Hashim, Pensyarah Psikologi yang juga merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
Menurut Dr. Intan, tekanan biasa berlaku bila kita terganggu dengan sesuatu perkara dan kita rasa tidak berdaya untuk menyelesaikannya.
"Tekanan juga berlaku apabila ada banyak permintaan pada diri dan permintaan ini sama pentingnya.
"Untuk ibu bapa yang perlu keluar berkerja atau keluar untuk melakukan urusan harian tetapi pada masa yang sama mereka perlu menjaga anak kecil dan ketiadaan penjaga, hal ini sangat menimbulkan tekanan," kata Dr. Intan.
Menurut Dr. Intan, ada dua permintaan besar pada mereka, keluar berkerja atau menjalankan urusan berbanding menjaga anak.
Dalam keadaan tertekan, ada dua cara untuk menanganinya. Strategi berfokus kepada emosi atau strategi berfokus kepada masalah.
"Strategi berfokus kepada masalah adalah dengan cuba selesaikan masalah tersebut melalui:
1. Dapatkan bantuan dari keluarga dan rakan rakan 2. Cari kerja dari rumah 3. Shopping secara online
" Manakala strategi berfokus kepada emosi adalah cuba kurangkan emosi negatif:
1. Luahkan perasaan kepada seseorang 2. Bersimpati dengan diri sendiri (self compassion) 3. Melihat dari perspektif positif 4.Boleh juga kurangkan tekanan dengan bersenam dan dengar musik 5. Buat aktiviti menarik bersama anak anak
"Ada juga strategi meningkatkan kegembiraan dengan cara: 1. Besyukur dan berterima kasih 2. Melihat sesuatu dari sudut positif 3. Menikmati semua aspek kehidupan seperti secawan kopi 4. Membina hubungan baik dengan orang sekeliling."
Tambah Dr. Intan lagi, pelbagai cara yang boleh diambil oleh ibu bapa yang tidak yakin untuk meninggalkan anak-anak kecil mereka bersama penjaga di luar (bukan pembantu rumah).
"Ada strategi seperti pergi semasa anak kecil sedang tidur dan anak yang sudah dewasa boleh jaga. Pergi awal supaya tidak terlalu lama, atau beli secara online.
"Buat perancangan awal dengan memastikan senarai membeli belah lengkap supaya tidak perlu pergi berulang kali, dan beli dalam jumlah yang banyak untuk keperluan yang sering digunakan.
"Dapatkan bantuan. Jangan segan untuk minta seseorang membantu sama ada menjaga anak, mahupun membantu membeli belah dan lain-lain.
"Berikan bantuan supaya sistem sokongan anda adalah kukuh. Ini memudahkan bila anda sendiri perlukan bantuan. Suami isteri juga boleh ambil giliran untuk keluar sementara seorang lagi menjaga anak di rumah," kata Dr. Intan.
Tambah beliau lagi, ibu bapa perlu memikirkan tentang pentingnya penjagaan kesihatan buat anak-anak kecil ketika wabak ini masih ada, dan jangan biarkan perkara-perkara kecil menjadi besar sehingga menimbulkan tekanan pada diri sendiri dan keluarga.
Temu bual Gempak ini adalah bersama Profesor Dr. Intan Hashimah Mohd Hashim, Pensyarah Psikologi, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live