Sekilas
- Cik B terkejut dan terharu menerima kejutan kereta mewah Lamborghini Urus Mansory daripada ibunya, Datuk Seri Vida sempena ulang tahun kelahirannya.
- Kereta tersebut adalah hadiah yang ditunaikan selepas Cik B menyatakan keinginannya memiliki Lamborghini Urus warna biru, namun dia menerima warna hitam sebagai kejutan.
- Cik B berazam untuk membalas jasa ibunya dengan menguruskan perniagaan keluarga dan memastikan ibunya dapat berehat serta menikmati hidup tanpa risau soal bisnes.
Bintang Talk To My Manager 2, Cik B mengakui terkejut dan terharu apabila menerima kejutan sebuah kereta mewah Lamborghini Urus Mansory daripada ibunya, Datuk Seri Vida sempena ulang tahun kelahirannya.
Menurut Cik B, dia langsung tidak menyangka permintaannya untuk memiliki kereta idaman itu benar-benar ditunaikan oleh ibunya.
“Saya memang tak sangka langsung. Mama ada tanya nak apa sempena ulang tahun kali ini dan saya ada cakap nak Lamborghini Urus warna biru. Tapi tiba-tiba hari ini saya dapat kejutan Lamborghini Urus warna hitam.
“Alhamdulillah, mama tunaikan permintaan saya. Kadang-kadang saya rasa macam tak layak dapat semua ini. Saya memang pernah beritahu itu kereta idaman, tapi saya tak perlukan pun sebab sebelum ini mama sudah belikan Mercedes Brabus G63,” katanya kepada Gempak.
Cik B atau nama lengkapnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin turut mendedahkan kejutan tersebut berjaya dirahsiakan sepenuhnya tanpa pengetahuannya.
“Saya rasa semua orang rahsiakan benda ini daripada saya. Adik saya yang uruskan semuanya, pergi jumpa orang itu dan orang ini untuk dapatkan kereta tersebut," kongsinya.
Pada masa sama, Cik B berkata apa yang paling penting buat dirinya ketika ini adalah membalas jasa serta membanggakan ibunya yang selama ini banyak berkorban untuk keluarga.
“Apa yang saya nak buat adalah membanggakan mama. Saya nak sampai satu tahap bila mama nak pergi bercuti, saya boleh belikan tiket. Apa sahaja mama nak, saya boleh sediakan.
“Saya nak muliakan balik mama saya. Saya nak dia berehat, duduk rumah, pergi bercuti dan tak perlu lagi fikir soal bisnes. Biar saya yang uruskan semuanya.
“Tapi saya tahu bukan mudah untuk ambil alih perniagaan mama. Mama ada lebih 200 pekerja dan saya sendiri tertanya-tanya macam mana seorang ibu tunggal mampu menguruskan semua itu,” luahnya.
Terdahulu, Cik B telah menerima sebuah kereta mewah Lamborghini Urus Mansory daripada ibunya, Datuk Seri Vida sewaktu siaran langsung, Talk To My Manager 2 (TTMM2).
Kereta yang diterima oleh Cik B itu dianggarkan bernilai kira-kira lebih RM2 juta.