Sitkom fenomena Friends, Friends: The Reunion akan menemui para peminatnya buat perdana kali selepas 17 tahun berakhir.

Enam karakter utamanya Jennifer Aniston, Courteney Cox, Lisa Kudrow, Matt LeBlanc, David Schwimmer, dan Matthew Perry kembali menghidupkan memori sitkom yang pernah menjadi kegilaan ramai saat ditayangkan sekitar tahun 1990an.

Bakal menemui peminatnya hari ini, pihak media antarabangsa terlebih dahulu telah menonton pengisian naskhah yang dicipta oleh David Crane dan Marta Kauffman.

Berikut antara 5 momen menarik yang disenaraikan oleh BBC mengenai sitkom yang akan tayang di Malaysia secara eksklusif menerusi HBO GO pada 27 Mei ini jam 3.01 petang manakala siaran ulangan di HBO (Astro saluran 411) pada jam 9 malam.

1. Semua Terasa 'Kecil'



Friends : The Reunion dihasilkan tanpa skrip dan produksi membangunkan semula beberapa lokasi ikonik dalam studio Warner Bros yang membuat semua pelakon mengenang memori saat mereka bergabung dalam sitkom itu dahulu.

Antara set ikonik yang dibangunkan adalah dua buat apartments dan kedai kopi Central Park.

David Schwimmer yang tiba di set mengatakan: "Semuanya terasa kecil buat saya", sebelum disambut Matt LeBlanc: "Ini mustahil, kami seperti tidak membesar."

Mereka kemudian mengenang beberapa insiden yang terjadi sepanjang penggambaran termasuk banyak dialog dengan maksud tersembunyi yang hanya mereka fahami.

2. Tidak Menyimpan Koleksi

Matthew Perry secara terbuka mengaku tidak mengingati tiga tahun pembabitannya dalam sitkom tersebut; ternyata bukan dirinya seorang yang mengalami hal tersebut.

'Rahsia' tersebut terbongkar sewaktu mereka bermain game. "Oh saya tidak mengingati ini," kata Schwimmer.

Perry kemudian mengatakan: "Saya benar telah melupainya selama 17 tahun ini sehingga anak saya menontonnya beberapa tahun lalu."

3. Kesihatan Matthew Perry



Kemunculan Matthew Perry dalam keadaan kesihatan yang tidak begitu baik membuatkan peminat bimbang.

Dalam salah satu temu bual, Perry kelihatan sangat sukar untuk bercakap dan mengingat berikutan masalah kesihatan yang dialaminya. Perry diketahui bergelut dengan masalah kecanduan alkohol dan dadah.

4. Kemunculan Selebriti Kelas A

Seperti dilaporkan sebelum ini, Friends : The Reunion menjemput ramai bintang tamu yang terdiri daripada barisan selebriti terkenal dunia.

Antara yang mendapat perhatian adalah kehadiran David Beckham dan kumpulan terkenal dari Korea Selatan BTS.

Selain bermain game, mereka juga berkongsi pengalaman membesar dan menonton sitkom tersebut.

5. Filem Friends?



Tidak mudah untuk membuat sesebuah naskhah kekal relevan selama 10 tahun, namun produksi sitkom ini berjaya mengekalkan momentum tersebut.

Kebanyakan peminat akan mengatakan kehidupan yang dipaparkan dalam sitkom tersebut mempunyai persamaan dalam dunia realiti mereka.

Selepas Friends: The Reunion diterbitkan, ramai yang berharap naskhah ini dihasilkan dalam bentuk filem. Adakah ia akan direalisasikan?