Aktres Ummi Nazeera menasihati kalangan pelakon terutama yang masih baharu di dalam industri agar tidak terjebak dengan cinta lokasi.

Kata Ummi, 32, pelakon yang terlibat dengan cinta lokasi secara tidak langsung akan mengganggu fokus kerja pasukan produksi di set penggambaran.

Malah jelasnya, keadaan akan bertambah buruk lagi apabila ketika mereka bergaduh, ia sekaligus akan menyusahkan orang lain.

“Bila pelakon yang masih baharu masuk set, ada perasaan nak kenal dengan rakan pelakon lain di set penggambaran macam cinta lokasi itu perkara biasa. Cumanya bagi pendapat peribadi sebagai seorang pelakon yang senior, saya nasihatkan jangan.

“Berdasarkan pengalaman yang terjadi depan mata, seeloknya jangan ada cinta lokasi. Ini kerana perkara tersebut akan mengganggu fokus dan kerja orang lain di set.

“Contoh, jika mereka berdua bergaduh, secara automatik akan mengacau semua orang belakang tadbir, dah tak boleh nak shoot. Ingat, dalam Islam jangan menyusahkan orang lain.

“Kalau awak nak menyusahkan diri sendiri itu pilihan awak. Itu urusan awak dengan Allah sahaja. Tapi kalau awak menyusahkan orang lain, ia akan jadi urusan awak, orang lain dan Allah. Macam mana nak minta maaf dengan orang lain itu?,” katanya kepada Gempak.

Ummi berkata demikian ketika ditemui pada majlis By CheFiza (BCF) Awards yang berlangsung di Glam Hall Damansara pada Sabtu.

Ummi yang juga duta kepada jenama tersebut menjelaskan seeloknya perasaan suka itu disimpan terlebih dahulu dan kemudian diluahkan sejurus usai penggambaran.

“Tapi kalau mereka mampu simpan dan pendam dulu perasaan tersebut, kemudian sambung selepas habis penggambaran dan perasaan cinta itu masih ada antara mereka berdua, why not.

“Pernah terjadi pun depan mata saya, bila mereka gaduh semua orang dekat set akan terjejas. Lagi-lagi yang tak pandai kawal perasaan dan emosi tu. Be professional lah,” tambahnya.

Terdahulu, kecoh di laman sosial apabila pelakon Bella Astillah mendedahkan ada ‘heroin’ sebuah drama yang menjalani penggambaran bersama suaminya, Aliff Aziz mengaku ‘tersuka’ dan jatuh cinta kepada Aliff.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.