Tidak dinafikan peningkatan kes positif jangkitan COVID-19 mencetus kebimbangan dan rasa panik di kalangan masyarakat.

Memburukkan keadaan apabila penyebaran berita palsu di media sosial mengenai perintah berkurung menjadi tular.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai bertindak membeli barang-barang keperluan harian dalam jumlah yang banyak sebagai persiapan.

Sejak semalam, pasar raya dipenuhi orang ramai yang menyerbu rak barangan keperluan seperti beras, mi segera, sardin, tepung dan cecair pembasmi kuman.

Rasa panik yang tercetus turut bertukar menjadi ‘vandalisme’ apabila ada pengguna laman sosial meluahkan rasa kecewa kerana berlaku kerosakan.
Selain itu, ‘panic buying’ juga menyebabkan sesetengah pengguna tersilap membeli barang yang tidak sepatutnya dibeli.

Beberapa paparan skrin Whatsapp telah tular sejak semalam dan ia mungkin kelihatan lucu tetapi secara tidak langsung pembaziran turut berlaku.

Contohnya apabila minyak yang digunakan untuk sembahyang turut diborong pembeli kerana menyangka ia minyak masak biasa…gara-gara panik! Tak patutkan?

Jom Gempak kongsi dengan anda beberapa situasi yang tular sejak semalam:

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru orang ramai supaya tidak mempercayai berita mengenai kononnya kerajaan bakal mengumumkan perintah berkurung atau ‘lockdown’ susulan penularan COVID-19.

Perdana Menteri turut beri jaminan bekalan bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka, adalah mencukupi dan tidak perlu melakukan ‘panic buying’.

Beliau memaklumkan telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran.