Bintang Gegar Vaganza 2019, Naqiu memohon orang ramai supaya tidak mempercayai akaun sosial media yang menggunakan namanya.

Naqiu ketika dihubungi berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh peminat tentang kewujudan akaun Facebook (FB) dirinya.

Lebih memeranjatkan apabila, individu tidak bertanggungjawab itu turut meminta wang daripada peminat, kononnya untuk tujuan kebajikan.

Tambah Naqiu dia juga terkilan apabila menjadi mangsa scammer kerana perkara seumpama ini melibatkan reputasi dirinya.

"Saya terkilan dengan situasi yang berlaku ini. Walaupun perkara seumpama ini bukan pertama kali berlaku tapi ia tetap mengejutkan saya secara peribadi.

"Tak sangka ada pihak di luar yang tergamak mengambil kesempatan dan memanipulasi peminat lain menggunakan nama dan gambar saya.

"Ini melibatkan reputasi dan apa pula pandangan orang terhadap saya selepas ini? Sedangkan bukan saya yang meminta wang untuk kelab peminat dan sebagainya," katanya kesal.


Bagaimanapun kata Naqiu, dia menyerahkan perkara ini kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya.

"Perkara ini sedang disiasat oleh pengurusan saya bersama pihak berkuasa. Saya ingin tegaskan di sini, pihak yang tidak bertanggungjawab itu takkan terlepas kerana menganiaya peminat-peminat saya.

"Kepada semua peminat, anda semua kena berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan yang menyalah guna nama saya," katanya.

Naqiu merupakan finalis Gegar Vaganza 2019 yang bakal berentap dengan lima lagi bintang di pentas akhir pada Ahad ini.

Lima bintang tersebut ialah Sham Visa, Hady Mirza, Nurfatima, Jatt dan One Nation Emcee.