Penerbit filem, Datuk Normashayu Puteh mendesak pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada sebuah platform jualan dalam talian atau e-dagang yang menjual filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) secara cetak rompak.

Normashayu Puteh atau dikenali sebagai Ayu Puteh berkata, dia amat kecewa kerana selepas lima bulan isu cetak rompak itu diadukan sehingga kini ia masih belum menemui jalan penyelesaian.

“Saya kecewa dan terkilan kerana selepas lima bulan aduan dibuat, sehingga kini dua pihak ini masih tidak dapat mengambil tindakan dan menyelesaikan hal ini.

“Saya ingin tahu apa kesudahan dan penyelesaian terhadap isu ini. Saya juga mahu dibela atas hak saya sendiri.

“Ini bukan untuk saya sahaja saya mewakili semua terutama produser filem lain yang sudah banyak mengalami kerugian di atas keuntungam orang lain,” katanya kepada media.

Ayu Puteh ditemui dalam satu sidang media bersama wakil persatuan Karyawan, Persatuan Filem Malaysia (PFM) dan Malaysia Cyber Consumer yang menyokong usahanya untuk mempertahankan karya hak ciptanya.

Pun begitu, pemilik syarikat produksi Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. itu mendedahkan dia pernah menerima amaran dari pihak yang meminta untuknya berdiam diri tidak kerana senang dengan sifat lantangnya.

“Jangan suruh saya diam. Selagi isu ini tidak selesai saya akan bersuara. Malah saya tidak akan berputus asa atau berhenti sehingga nasib saya dibela,” tegasnya lagi.



Terdahulu awal Ogos lalu, Ayu meluahkan rasa kecewanya selepas mengetahui filem AADD yang dilaburkan dengan kos sebanyak RM2 juta itu dijual pada harga RM1 menerusi platform jualan dalam talian.

Susulan dari itu, dia dan pihak guamannya telah memfailkan saman dan sedang menjalani proses mahkamah.

Filem AADD yang diarahkan oleh Rahila Ali ditayangkan secara eksklusif menerusi saluran berbayar Astro First pada 4 Jun lalu.