HIBURAN
“Janganlah Kita Buka Cerita & Aib Sama Ada Baik Atau Buruk Di Media Sosial, Simpanlah” - Ashraf Muslim
Pelakon Ashraf Muslim menitipkan nasihat kepada semua orang agar tidak menjadikan platform media sosial sebagai tempat untuk berkongsi masalah peribadi terutama melibatkan keluarga sendiri.
Ashraf atau nama sebenarnya Muhd Ashraf Muslim, berkata sebelum memuat naik sesuatu perkongsian perlulah memikirkan kesan yang akan terjadi kepada keluarga dan orang sekeliling.
“Jangan jadikan media sosial sebagai platform untuk selesaikan masalah sebab tidak semestinya di platform tersebut dapat membantu meringankan masalah itu.
“Malah, media sosial menyumbang menjadi masalah lebih banyak… jadi kena berhati-hati kerana tidak semestinya orang luar itu suka atau sokong kita.
“Kalau sayangkan diri, keluarga dan orang-orang di sekeliling kita berhati-hatilah dalam membuat keputusan untuk berkongsi dalam media sosial,” katanya kepada Gempak.
Ashraf ditemui di majlis pelancaran aplikasi Khawla Showcase yang diadakan di Bangi Golf Resort, Bandar Baru Bangi, pada Rabu.
Dalam pada itu, pelakon berusia 43 tahun ini juga berkata apa sahaja hal melibatkan keluarga sepatutnya dijaga dengan baik bukannya didedahkan kepada umum jika berlaku permasalahan.
“Keluarga ialah harta kita dan perlu dijaga dengan baik. Tidak kisah sama ada kebaikan atau keburukan aibnya sebagai keluarga kita perlu menjaga dengan baik.
“Ia diibaratkan seperti kalau kereta rosak, takkan nak biarkan tengah jalan sehingga rosak, disebabkan itu kita kena baiki kereta itu. Janganlah kita gunakan amarah dengan menyelesaikan di tempat yang tidak sepatutnya sebagai contoh di media sosial.
“Media sosial adalah platform yang bagus, tetapi kalau digunakan dengan cara tidak bagus, lama-kelamaan ia akan merosakkan hubungan dengan orang yang kita sayang, diri sendiri dan keturunan.
“Jadi kena berhati-hati apabila kita berkata-kata atau menunjukkan dari segi perbuatan kerana ia boleh membuatkan orang tersinggung. Perkara itu mungkin akan memberi kesan yang tidak baik kepada orang tersebut dan diri sendiri.
“Bagi saya, janganlah kita buka cerita dan aib sama ada baik atau buruk di media sosial. Simpanlah, takkan semua perkara mahu kongsi,” ujarnya.
Must-Watch Video