Pelakon Luqman Hafidz mengakui tidak menyangka masih menerima tawaran berlakon walaupun sudah berstatus suami orang.

Luqman ketika dihubungi Gempak berkata, pada mulanya dia agak skeptikal dengan kata-kata orang sekeliling mengenai ‘pelakon tidak ada job’ selepas berkahwin.

“Sebelum ini saya agak risau juga apabila memikirkan tentang cakap-cakap orang yang pelakon ni kalau berkahwin job akan berkurangan.

“Apatah lagi apabila terfikir tentang tanggungjawab dan komitmen selepas bergelar suami. Takut saya tak dapat tanggung keluarga dan isteri.

“Tapi siapalah kita untuk menyangkal janji Allah. Ya, rezeki lebih luas selepas berkahwin…Tidak dinafikan akan ada ujian tetapi percayalah setiap ujian yang turun pasti ada khabar gembira selepasnya,” kata Luqman positif.

Pelakon yang mula dikenali menerusi filem Ola Bola itu berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran drama Cinta Sekali Lagi.

“Alhamdulillah, selain Cinta Sekali Lagi saya juga baru selesai penggambaran Jangan Benci Cinta dan sedang menanti filem PASKAU yang mungkin akan ditayangkan pada hujung tahun ini kalau taka da aral melintang.

“Begitu juga dengan pementasan Ola Bola The Musical di Istana Budaya yang dijadualkan pada September atau Oktober ini juga bergantung kepada keadaan semasa.

“Lain-lain projek terbaru, ada beberapa buah drama yang masih dalam peringkat perbincangan bersama pihak pengurusan dan produser.

“Saya bersyukur sangat-sangat kerana masih menerima tawaran berlakon walaupun kita sekarang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Selain itu drama kerjasama Astro dan produksi Indonesia berjudul Sepenggal Puisi lakonan Luqman juga sedang ditayangkan di Astro Citra.

Drama arahan Jenderal Soedirman, Viva Westi itu turut menampilkan pelakon Christine Hakim, Wan Hanafi Su, Cut Mini, Nora Danish, Iedil Putra, Zahiril Adzim, Liza Othman, Ibnu Jamilo, Ayushita, Amir Nafis, Adeline Tsen, Bella Dally, Nanda Candra, Delia Chery, Mohammed Abe, Kuza, Vicha dan Sanjna Suri.

Luqman Hafidz melangsungkan majlis pernikahan secara tertutup, pada 20 Mac lalu dengan Nurul Atiqah Mad Apandi ketika Perintah Kawalan Pergerakan.