Aktres dan penyanyi Fazura kini genap enam bulan bergelar seorang ibu kepada cahayamata perempuan, hasil perkongsian hidup dengan Fattah Amin, Nur Fatima Aisya.

Hanya sesekali memuat naik foto atau video perkembangan Fatima, akui juri Muzikal Lawak Superstar 2021 selain tidak mahu terlalu memberi pendedahan anaknya terhadap media sosial, dia juga tidak menilai anaknya sebagai konten sekaligus mengaut tanda likes daripada netizen.

"Anak saya bukan konten. Saya fikir saya hanya akan kongsikan serba sedikit tentang Fatima melalui video atau foto misalnya yang lebih bersifat momen atau sentimental melalui akaun Instagram yang kami buka iaitu @fattzuralovelife.

"Jadi foto atau video yang dimuat naik ada momen, bukan untuk kejar likes ke apa. Ia hanya untuk kenangan saya," ujar Fazura yang ditemui Gempak sewaktu menjayakan penggambaran iklan bersama Fatima di Suria KLCC, hari ini.

Biar tidak mahu mengeksploitasi kehidupan Fatima yang masih terlalu kecil, Fazura mengatakan dia dan Fattah telah lama menyediakan sebuah akaun Instagram khas buat Fatima yang akan digunakannya apabila tiba waktu sesuai.

"Sebenarnya, saya dan Fattah telah blocked satu akaun Instagram untuk Fatima sebelum saya bersalin lagi.

"Tapi itu untuk kegunaan dia apabila dia sudah bersedia. Cuma buat masa ini, memang Fatima tidak ada akaun untuk diisi konten, dan sesekali saya kongsi di akaun Instagram peribadi saya untuk kenangan.

"Saya juga tidak mahu terlalu kerap memuat naik kisah Fatima di akaun peribadi saya kerana ia saya menggunakannya untuk urusan aktiviti kerja," tambah Fazura.

A post shared by Nur Fazura (@missfazura)


Sementara itu, bercakap mengenai projek khas yang juga pertama kali bersama anaknya dijalankan bersama KLCC, Fazura bersetuju untuk terbabit kerana ia seperti sebuah kesinambungan kepada penggambaran sebelum ini iaitu sewaktu dia hamil tujuh bulan.

"Jadi saya lihat projek dengan KLCC ini ada sentimentalnya sebab saya pernah ada pengalaman beli belah sewaktu mengandungkan Fatima. Kali ini, saya dan Fatima bersama kembali ke KLCC membeli belah," ujar Fazura.

Namun, Fazura menafikan pembabitan Fatima dalam projek atau sebarang penggambaran iklan komersial misalnya adalah cara dia eksploitasi anak.

"Saya tidak mahu eksploitasi anak walaupun ada banyak tawaran. Saya hanya akan memilih mengikut projek yang membawa manfaat kepada dia dan semua," katanya.