Laman Utama
Jefri Nichol Kongsi Pengalaman Masuk Penjara, Mengaku Tak Perlu Jaga Imej Lagi
Aktor muda Jefri Nichol pernah dipenjarakan kerana kesalahan dadah jenis ganja.
Dirinya sempat duduk di sebalik tirai besi selama sebulan pada tahun 2019. Jefri kemudian dibebaskan dari penjara dan duduk di pusat pemulihan akhlak selama empat bulan.
Mengenang kembali peristiwa hitam yang pernah melanda dirinya itu, pelakon yang kini muncul dengan naskhah My Sassy Girl itu mengaku kes dadah dan pengalaman duduk di penjara membuat hidupnya kini lebih santai dan kurang tekanan terutama dalam menjaga imej.
“Dulu kan saya perlu menjaga banyak perkara, imej kena baik dan bersih. Itu seperti satu tekanan supaya tidak ada orang yang kecewa dengan sikap saya, misalnya.
“Selepas dipenjarakan, saya lihat ekspektasi orang terhadap saya sudah tidak seperti dulu lagi.
Misalnya kalau saya lakukan hal yang mungkin mengejutkan, ia bukan lagi satu kejutan buat mereka.
“Jadi efeknya, satu bulan duduk dalam penjara dan empat bulan di pusat pemulihan, kini saya berasa kurang beban,” ujar Jefri sewaktu menjadi tetamu dalam saluran YouTube Vidi Aldiano seperti dilaporkan Kompas.
Pelakon yang baru berusia 23 tahun itu pun menceritakan saat ditangkap, dirinya dalam persiapan sebuah projek filem. Menurutnya, dia perlu menjaga makan dan menurunkan berat badan dengan banyak melakukan tinju.
“Tiga bulan saya buat persiapan untuk filem, tapi dua hari lagi sebelum memulakan penggambaran, saya ditangkap.
“Sebab itu kalau lihat kembali gambar saya dengan baju penjara nampak lebih kurus dan macam penjahat sangat. Tapi saya suka gambar itu,” katanya ketawa.
Must-Watch Video