Viral

Jenama Ais Krim Popular Perkenal Perisa Campuran Bersama Ubat Batuk, KKM Arah Hentikan Penjualan Serta Merta

gempak
Khairil Khusyairi
30/07/2024
09:55 MYT
Sponsor Banner
Jenama Ais Krim Popular Perkenal Perisa Campuran Bersama Ubat Batuk, KKM Arah Hentikan Penjualan Serta Merta
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan penjualan produk ais krim yang dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) yang dikeluarkan sebuah jenama ais krim dihentikan segera.

Campuran Bersama Ubat Batuk

KKM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah membuat semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang ditularkan mendapati bahawa ais krim tersebut disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk Pei Pa Koa.
“Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, di bawah kategori Tradisional, dengan nombor pendaftaran MAL06061564T yang digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

“Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan.

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,” tulis dalam satu kenyataan.

KKM Arah Henti Penjualan

Susulan itu, semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut bagi tujuan keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.

“Pihak industri makanan adalah diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan.

“Orang ramai juga adalah dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan,” tulis kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, pihak jenama ais krim tersebut tampil memaklumkan mereka akan menghentikan segera penjualan produk ais krim tersebut dan memohon maaf atas kesulitan.
Malah, pihaknya juga akan menghubungi pelanggan yang terkesan terhadap isu tersebut.
Terdahulu, netizen meluahkan pelbagai reaksi terhadap pengiklanan yang dibuat sebuah jenama ais krim terkenal apabila memperkenalkan produk ais krim yang dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak).
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live