Laman Utama
“Jika Benarlah Abang-Abang Raihan Ada Ulas Isu Konsert…” - Ini Pendapat PU Syed
Pendakwah bebas, PU Syed tampil memberikan pendapatnya berhubung kenyataan kumpulan Raihan mengenai isu penganjuran konsert di Malaysia.
Menerusi kemas kini di akaun Instagram miliknya, Syed berkata teguran mengenai perkara itu adalah lebih kepada tujuan penganjuran konsert diadakan.
“Jika benarlah abang-abang Raihan ada ulas isu penganjuran konsert… dan menyatakan tak nak lihat agama Islam yang keras…
“Secara asasnya hiburan tak menjadi masalah. Cuma yang menjadi teguran adalah penganjuran konsert yang melalaikan manusia dari ingat kepada Allah dan pencampuran unsur-unsur lagha dalam persembahan.
“Tak akan timbul Islam agama yang keras atau lembut bila bertembung dengan sesuatu kemungkaran,” jelasnya.
Bagaimanapun, Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata sekiranya penganjur dapat mematuhi syariah yang ditetapkan maka tidak ada siapa akan menghalang.
“Baginda Rasul seorang yang lemah lembut, namun tatka bertembung dengan kemungkaran… Baginda bersikap tegas, begitulah juga dengan para sahabat.
“Jika penganjuran boleh patuh syariah, silakan anjurkan. Tiada siapa yang akan bantah dan sekat,” jelasnya.
Terdahulu, Raihan menyarankan kerajaan memperketatkan pemantauan artis luar negara yang ingin membuat persembahan di Malaysia sebagai jalan penyelesaian terbaik bagi membendung apa yang didakwa membawa anasir buruk, berbanding menyenaraihitamkan mereka.
Must-Watch Video