Sebuah kempen Jom #SapotLokal Filem 2021 yang mendapat kerjasama Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan Six Fun Media telah dilancarkan untuk memeriahkan lagi industri perfileman negara.

Terdapat enam buah filem yang dijayakan oleh nama-nama besar industri filem tempatan bakal dipacu menerusi kempen kali ini.

Enam filem yang dipersembahkan adalah Biko, sebuah filem drama, romantik lakonan Baby Shima dan Azrel Ismail; Rasuk, filem rasukan zombi lakonan Alif Satar dan Elisya Sandha; Wayang Puaka, kisah sumpahan filem berpuaka; Rumah Maduku Berhantu, filem komedi seram lakonan Zizan Razak dan Rita Rudaini; 3 Janda, filem komedi lakonan Khatijah Tan, Datin Marlia Musa and Fasha Sandha; serta AirForce The Movie: Selagi Bernyawa, filem aksi berkisar tentang Tentera Udara Diraja Malaysia lakonan Aiman Hakim, Dato’ Adi Putra dan Nas-T.

Menurut Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif, Golden Screen Cinemas, Jom #SapotLokal Filem 2021 adalah lebih daripada satu kempen sekadar mempromosikan filem tempatan yang baru atau membekalkan filem yang akan datang.

Ia adalah satu komitmen pada industri perfileman, di mana GSC bukan saja mempamerkan filem tetapi juga memacu penghasilan filem Malaysia yang berkualiti.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid berkata, industri perfileman negara mampu diperkasakan dengan adanya kempen-kempen seperti ini.

“Bagi pihak FINAS saya berbangga menyaksikan komitmen pihak Multimedia Entertainment, GSC, Astro dan Six Fun Media menerusi pelaksanaan inisiatif Jom #SapotLokal Filem 2021 ini dalam memastikan sektor industri perfileman terus diperkasa sekalipun terkesan dengan penularan wabak pandemik COVID-19”,” ujarnya lagi.