Menjejakkan kaki ke pusingan separuh akhir program #JuaraParodi, kumpulan Kobis Pedas yang dianggotai oleh Tauke Jambu dan Misha Omar membawa semangat Allahyarham Yus Jambu bersama mereka.

Arwah Yus meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor pada 30 November tahun lalu akibat serangan jantung.

"Syukur, Alhamdulillah. Bagi saya dan Misha, andai kata kami tersingkir dan tak dapat melangkah ke separuh akhir, kami sudah rasa sangat berpuas hati.

"Sejujurnya, kami buat semua ini adalah untuk Yus. Kami bawa semangatnya bersama kami. Kami akan melakukan yang terbaik di pusingan seterusnya demi Arwah Yus dan semua peminat," kata Tauke.

Gembira melihat sokongan yang diterima saban minggu, Kobis Pedas tidak lupa untuk menghargai peminat mereka.

"Saya dan Misha sangat gembira dan teharu. Kami gembira kerana berjaya melangkah maju satu tapak ke hadapan. Kami juga terharu melihat sokongan yang diberikan oleh ramai pihak kepada saya dan Misha.

“Mereka sentiasa menyokong dari saat kami down sampai mahu menarik diri sehingga kini. Kami sangat menghargainya dan berterima kasih untuk sokongan yang diberikan," kata Tauke lagi.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap.

#JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Layari www.juaraparodi.com.my untuk informasi lanjut mengenai #JuaraParodi. Gunakan hashtag #JuaraParodi untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal