Laman Utama

Jurutera Aeronautik Pernah Susah Dapat Kerja, Sekarang Jadi Saudagar Minyak Wangi Lokal - "Puluhan Resume Hantar, Hanya 10 Je Panggil"

gempak
Amri Hassan
08/03/2022
01:55 MYT
Sponsor Banner
Jurutera Aeronautik Pernah Susah Dapat Kerja, Sekarang Jadi Saudagar Minyak Wangi Lokal - "Puluhan Resume Hantar, Hanya 10 Je Panggil"
Siapa sangka perniagaan jenama wangian terkenal SugarBomb yang asalnya hanya bermula dari ruangan pejabat kecil belakang rumah di Shah Alam seterusnya berpindah randah ke premis kedai dan bangunan.
Namun, kini jenama milik syarikat SugarBomb Worldwide Sdn Bhd itu sudah mampu memiliki kilang dan gudang wangian berkeluasan tiga ekar di Meru, Klang.
Jenama yang beribu pejabat di Bandar Bukit Raja, Klang itu bertapak pada tahun 2017 dan ditunjangi pengasasnya, iaitu Ahmad Azhari Rosli.
Ahmad Azhari atau lebih mesra dengan panggilan Bos A merupakan graduan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Aeronautik di University Of Bristol, United Kingdom (UK), namun akhirnya memilih cabang perniagaan hingga menjadi saudagar wangian.
"Namun kalau nak diikutkan kronologi, panjang perjalanan dan liku hidup saya tempuhi. Bagaimanapun tiada sekelumit kekesalan di hati. Saya sendiri tidak menyangka susah payah belajar bidang kejuruteraan aeronatik membuka lembaran lain. Hingga menjadi punca rezeki saya dan ramai orang.
"Masa belajar di luar negara pun saya bekerja sambilan sambilan sebagai 'cleaner' untuk menampung kos sara hidup. Saya cuci tandas, bangunan, ruang legar dan macam macam. Kerja dalam cabang pemandu pelancong pun saya pernah," kata jejaka berusia 30 tahun dari Selangor itu membuka cerita.
Selepas tamat pengajian pada tahun 2015, laluan masa depan lelaki berstatus bapa kepada dua cahaya mata ini ketika itu masih samar.
"Puluhan 'resume' yang dihantar ke pelbagai organisasi. Bayangkan daripada puluhan 'resume' itu, hanya 10 saja syarikat memanggil saya untuk ditemuduga. Namun semuanya hampa, saya ditolak mentah mentah kerana tiada pengalaman kerja.
"Dalam kehampaan dan kekecewaan tak terbendung, saya bangkit. Masa itu saya sanggup buat apa saja kerja termasuk menjual kek secara dalam talian dan mengambil upah memandu lori untuk menghantar barang.
"Akhirnya cabang niaga yang lebih menyebelahi saya. Lagipun saya dibesarkan dalam dunia niaga. Hingga kemuncak, dunia wangian juga yang bagai menghamparkan tuah dan rezeki. Saya berjinak jinak dengan industri minyak wangi pada tahun 2015 dan disertai Dr Muhammad Zamir Othman. Kami sama sama belajar di universiti sama di UK," katanya.
Kata Boss A, dia dan Zamir mula membuat penyelidikan dan mencari pembekal bahan bancuhan minyak wangi di UK.
"Kemudian kami bawa balik bancuhan itu ke Malaysia dan memulakan pembuatan minyak wangi sendiri. Masa itu, 600 botol minyak wangi dihasilkan dan ruang pejabat kecil belakang rumah menjadi saksi pergelutan saya.
"Masa itu memang saya tak ada cukup duit untuk menyewa bangunan pejabat. Ceburi perniagaan ini pun hanya bermodalkan RM15,000. Dari 600 berkembang sampai ribuan. Sekarang, Sugarbomb mampu keluarkan satu hingga tiga juta unit dengan pelbagai rangkaian minyak wangi hingga ke penyegar udara dalam masa sebulan," katanya.
Kehadiran Zamir umpama melengkapi minat Boss A. Malah pada tahun 2020 fasa awal pandemik, Zamir bersama pasukan kerjanya memperkenalkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri untuk jenama itu.
"2020 juga lonjakan kami untuk agresif dalam skop pemasaran. Nama jenama itu juga semakin dikenali. Kami ada kilang dan R&D sendiri kerana mempunyai mesin bancuhan minyak wangi.
"Malah selepas kemasukan pasukan kerja Zamir, rangkaian produk semakin bertambah. Dulu hanya ada minyak wangi dan penyegar udara. Sekarang, ada sanitasi tangan, penyegar fabrik, dan sebagainya.
"Tahun ini kami mahu buktikan golongan bumiputera juga mampu memiliki kilang tiga ekar yang mampu mengeluarkan pelbagai produk wangian. Malah tahun ini juga kami membuka pintu untuk menghasilkan produk-produk yang seangkatan daripada jenama pesaing," katanya.
Hingga kini, jenama ini sudah mempunyai lebih 5,000 pengedar (agen dan stokis) aktif di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.
"Kami menjual produk wangian yang bermula dari harga RM10 hingga RM59. Kami alu-alukan ramai lagi untuk sama -sama menjana pendapatan. Hubungi 018-9003435 untuk maklumat lanjut.
"Sepanjang tahun ini kami yakin dan optimis untuk mencapai jualan RM70 juta dengan sokongan daripada 'reseller' kami. Insya-Allah dari sekarang hingga lima tahun mendatang, kami mahu terus menjadi jenama kebanggaan rakyat Malaysia," katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024