Penyanyi popular Hollywood, Justin Timberlake akhirnya membuka mulut mengenai kelahiran anak keduanya bersama isteri, Jessica Beil.

Berita mengenai kelahiran anak kedua mereka itu sudah tular sejak Julai tahun lalu.

Namun pasangan ini tidak membuat sebarang kenyataan mengenainya sehingga Justin mendedahkan berita bahagia itu dalam program The Ellen Show pada Isnin.

Memetik laporan People, Ellen merupakan antara yang terawal mengetahui perkara itu selain ahli keluarga pasangan selebriti itu.

Bercakap mengenai anak lelaki kedua yang diberi nama Phineas itu, Justin teramat gembira.

"Dia hebat dan sangat comel, kami sangat gembira dan bersyukur," katanya.

Apabila ditanya tentang rutin menjaga dua anak, Justin menerima fasa kehidupan itu dengan positif.

"Ia sangat menyeronokkan, semuanya baik-baik sahaja, anak pertama kami, Silas pun teruja mengenainya," katanya lagi.

Phineas dilaporkan lahir pada awal Julai tahun lalu. Berdasarkan laporan Life & Style, nama itu berasal daripada perkataan dalam kitab Hebrew Bible.

Meski sudah mengesahkan mereka kini merupakan ibu dan bapa kepada dua orang anak, pasangan selebriti itu masih belum berkongsi wajah Phineas kepada umum.

Terdahulu, Justin dan Jessica berkahwin pada tahun 2012, anak lelaki pertama mereka, Silas dilahirkan pada April 2015.

Sumber : People , Life & Style
Kredit Foto : Hollywood Reporter