HIBURAN
Justin Timberlake Dedah Hidap Penyakit Lyme, Tetap Teruskan Jelajah Konsert - “Bukan Nak Minta Simpati, Tapi…”
Penyanyi antarabangsa, Justin Timberlake akhirnya mendedahkan dirinya pernah bergelut dengan masalah kesihatan serius apabila disahkan menghidap penyakit Lyme.
Perkara itu dikongsi bintang SexyBack itu menerusi satu hantaran panjang di Instagram Story miliknya baru-baru ini sempena meraikan tamatnya siri jelajah konsert Forget Tomorrow Tour dan JT Live ’25.

“Antara lain, saya bertarung dengan masalah kesihatan dan didiagnosis dengan penyakit Lyme. Saya bukan nak minta simpati, tapi saya nak beri gambaran tentang apa yang saya hadapi di sebalik tabir.
“Kalau anda sendiri pernah atau kenal sesiapa yang pernah mengalaminya, anda pasti tahu ia boleh sangat melemahkan, secara mental dan fizikal,” ujarnya.
Menurut Timberlake, dia mengalami simptom seperti keletihan melampau dan kesakitan saraf yang teruk ketika berada di atas pentas, sebelum akhirnya mendapat kepastian tentang keadaannya.
“Bila saya mula-mula didiagnosis, saya memang terkejut. Tapi setidaknya saya tahu kenapa saya berasa sangat sakit atau keletihan semasa atas pentas.
“Saya berdepan satu keputusan besar, berhenti jelajah, atau teruskan dan cari jalan. Saya pilih untuk teruskan sebab kegembiraan semasa persembahan mengatasi tekanan terhadap tubuh saya. Saya bersyukur kerana saya teruskan,” katanya lagi.
Jelas Timberlake, meskipun dia seorang yang cukup menjaga privasi, kali ini dia cuba bersikap lebih terbuka demi memberi inspirasi kepada orang lain yang berdepan cabaran sama.
“Saya dibesarkan untuk simpan hal macam ni sendiri, tapi saya cuba lebih telus agar ia tak disalah tafsir. Saya harap perkongsian ini buat kita semua lebih saling memahami.
“Dan saya harap dapat bantu orang lain yang alami penyakit ini juga,” katanya.
Dalam pada itu, Timberlake turut berterima kasih kepada semua peminat dan pasukannya sepanjang dua tahun menjayakan jelajah tersebut.
“Mendengar dan melihat kalian semua menyanyikan lagu-lagu ini, setiap bait lirik, sepenuh jiwa, akan sentiasa membuat saya terpaku. Kalian telah menjadikan impian saya satu kenyataan,” tulisnya.
Mengakhiri coretannya, Timberlake turut menyatakan penghargaan buat isterinya, Jessica Biel serta dua anak mereka.
“Kepada Jess, Silas dan Phin… tiada yang lebih kuat daripada kasih sayang kalian yang tidak berbelah bahagi. Kalian adalah hati dan rumah saya. Saya sedang dalam perjalanan pulang,” tulisnya.
Untuk rekod, Justin Timberlake memulakan Forget Tomorrow Tour pada April lalu dan selesai siri persembahan terakhir di North Carolina minggu lalu.
Must-Watch Video