Bintang Big Stage 2020 (BS2020) Fadh Majid akan berusaha mencari daya tarikan apabila juri jemputan konsert suku akhir BS2020, Mas Idayu melihatnya sebagai tiada aura.

Menurut Mas Idayu atau lebih mesra disapa sebagai mami, dia melihat Fadh mempunyai suara yang baik dan sangat versatil cuma hanya kekurangan dari segi aura.

“Kadang-kadang saya pelik pasal aura ni, nak kata saya tak cute, saya dah cute. Mungkin saya kena cari lagi kot.

“Kalau nak bandingkan dengan Usop, dia memang dah dikenali ramai jadi aura dia dah sebati dengan orang ramai.

“Insyallah lepas ni mungkin disebabkan Big Stage, aura saya akan keluar.

“Aura tu pada saya tak boleh dicari. Dia lebih kenapa dah sampai masa nanti, aura tu akan keluar sendiri. Saya harap dengan izin Allah, aura saya keluar sebelum konsert akhir,” jawab Fadh kepada Gempak.

Fadh ditemui semasa majlis sidang media konsert suku akhir BS2020 yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Ahad.

Pertama kali menduduki tempat pertama pada konsert BS2020 minggu lalu dengan membawakan lagu dangdut cukup menggembirakan hati Fadh.

“Saya gembira apabila segala penat lelah, kerja keras saya orang kata berbayar.

“Tapi macam mana pun, ini adalah rezeki minggu suku akhir ni untuk dapat tangga pertama, saya tak sangka.

“Kalau boleh, saya nak dikenali sebagai penyanyi yang versatil. Bagi je lagu apa, saya akan buat yang terbaik,” tambahnya lagi.

Undi peserta kegemaran secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK.

Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.

Bigstage 2020 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Big Stage 2020 ditaja oleh Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu selaku penaja bersama.