Laman Utama
"Kadang-Kadang Dengar Isteri Menangis Dalam Bilik Air Teringat Arwah Anak" - Azmi Saat
Penyanyi Azmi Saat masih dalam fasa pemulihan emosi selepas kehilangan cahaya mata yang ditunggunya dan isteri, Nazira Muhammad, 36, selama 10 tahun pada September tahun lalu.
Advertisement
Jelas Azmi, 35, dia kini menjadi semakin kuat namun masih cuba berusaha untuk menjaga isterinya yang kadang-kala mudah larut dalam emosi.
"Kami masih mencuba (untuk mendapatkan zuriat) cuma isteri selalu ajak pergi kubur untuk lepaskan rindu. Menangis tu dah kurang dah, emosi saya pun semakin stabil.
"Memang pada mulanya dia kata perasaan sedih tu datang. Tiba-tiba dengar dia menangis dalam bilik air.
"Saya cakap sabar je lah. Tapi itulah, perkataan sabar itu dah tak bagi kesan apa. Jadi, saya cuma datang dan peluk dia, sekurang-kurangnya boleh tenangkan dia.
"Dia akan lebih teringat kalau dengar suara anak orang. Tambah-tambah pula dia selalu main Facebook, tengok macam-macam cerita tentang anak orang," ujarnya.
Azmi ditemui pada majlis Kempen Raikan Ramadan 'Berkongsi Rezeki, Manisnya Memberi' oleh Yayasan Maghfirah di Kajang, Selangor pada Jumaat. Azmi juga merupakan duta kepada yayasan terbabit sejak tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, Azmi belum merancang untuk mengambil anak angkat untuk mengubat kehilangan tiga bulan lalu.
"Tetapi bukanlah pada masa sekarang. Pada masa akan datang, ya mungkin. Saya pun pernah juga tanya isteri jika nak ambil anak angkat.
"Tapi dia kata belum bersedia. Dia nak cuba juga dapatkan zuriat sendiri. Kalau ambil anak angkat, kemudian dikurniakan zuriat sendiri, bimbang tak dapat bahagi kasih sayang dengan sempurna," tambahnya.
Ditanya tentang rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), dedah Azmi dia dan isteri telah melakukan ujian kesuburan sekitar tujuh tahun selepas mereka mendirikan rumah tangga.
"Doktor maklumkan kesihatan kami berdua okey dan memberikan ubat hormon saja. Tahun kelapan berkahwin isteri saya pernah hamil namun keguguran pada bulan ketiga.
"Lepas kejadian itu kami sudah tidak lagi membuat pemeriksaan lanjutan dan berserah. Pada tahun ke-10 kami diberikan rezeki. Biarpun masa bersama tidak lama, kami percaya pada ketentuan dan tidak pernah putus harapan untuk mendapatkan zuriat sendiri. Mungkin belum masanya lagi," tambahnya.
Azmi mendirikan rumahtangga dengan Nazira, seorang penjawat awam yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan pada 2011.
Setelah lama menanti, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Khairul Afnan pada 27 September lalu.
Bagaimanapun, selepas seminggu, permata hati mereka itu kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat kegagalan fungsi otak.
Must-Watch Video