Laman Utama

"Kadang-Kadang Masa Shooting Dah Boleh Rasa Cerita Tu Macam Something ..." - Shaheizy Sam

gempak
Shahrin Zulkifle
08/03/2023
03:00 MYT
Sponsor Banner
"Kadang-Kadang Masa Shooting Dah Boleh Rasa Cerita Tu Macam Something ..." - Shaheizy Sam

Sepanjang 30 tahun bergelar pelakon, aktor Shaheizy Sam mendedahkan dia pernah mempunyai perasaan tidak kisah sekiranya filem lakonannya tidak ditayangkan.

Pernah berdepan dengan perkara itu beberapa kali, Sam atau nama lengkapnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 40, berkata ia disebabkan ada sesuatu yang kurang disukainya dengan filem tersebut menyebabkan dia mempunyai perasaan sedemikian.

“Saya pernah ada perasaan yang beberapa filem lakonan saya itu tidak keluar pun tidak apa. Saya pernah berpengalaman dengan perasaan sebegitu dan banyak kali juga saya rasa macam ‘aku tak suka la’.

“Tapi apa boleh buat kan, dah siap semua. Ia boleh jadi tak suka in term of lakonan saya sendiri dan keseluruhan cerita itu sendiri, ada benda-benda yang saya rasa kalau tak keluar pun tak apa la cerita ini,” katanya kepada Gempak.

Sam berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem lakonan terbaharunya berjudul Rajah yang diadakan di Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.

Melanjutkan bicara, kata Sam berkemungkinan perasaan itu timbul disebabkan dirinya yang terlalu inginkan kesempurnaan dalam lakonannya.

Pun begitu, biarpun dia merasakan sesebuah filem itu kurang di matanya, namun dari pandangan penonton mereka amat menyukai.

“Kadang-kadang ketika penggambaran saya dah boleh rasa dah cerita itu macam something wrong, tapi bukan kerja saya untuk menyiapkan sesuatu filem kan.

“Bagaimanapun kalau perasaan macam tak seronok ketika shooting itu ada tetap kena teruskan penggambaran.

“Tetapi kadang kala, cakap tak puas hati tu sebenarnya diri sendiri sahaja, saya seorang yang perfectionist nak semua cantik. Mungkin saya rasa tak best, tapi bila sampai pada penonton mereka kata best pula.

“Itu syok sendiri, mungkin not my level. Mungkin saya yang salah untuk judge cerita itu kurang, penerimaan penonton rasa pula tip top,” tambahnya lagi.

Selain Sam, Rajah turut dibintangi Bront Palarae selain membariskan nama-nama bintang hebat dari pelbagai negara seperti Atiqah Hasiholan (Indonesia), Dominic Monaghan (British), Hannah New (United Kingdom) dan Josie Ho (Hong Kong).

Rajah merupakan sebuah filem yang mengangkat sejarah Rajah Putih pertama Sarawak, Sir James Brooke (1803-1868) dan bakal menemui penonton di Malaysia bermula 9 Mac depan.

Pembikinan filem Rajah adalah hasil pelaburan bersama antara empat negara iaitu Malaysia, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Malah, dana tunai sebanyak 30 peratus daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut disalurkan kerana pihak produksi terbabit memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran dengan kerjasama syarikat produksi tempatan.

Lokasi utama penggambaran secara keseluruhannya dijalankan di Sarawak, bermula 24 September 2019 hingga akhir Oktober pada tahun sama.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live