Laman Utama

Kaji Selidik WFH: Hampir Separuh Rakyat Malaysia Tidak Mahu Kembali Ke Pejabat

gempak
Maliah Surip
19/02/2021
01:20 MYT
Sponsor Banner
Kaji Selidik WFH: Hampir Separuh Rakyat Malaysia Tidak Mahu Kembali Ke Pejabat
Sebuah kaji selidik yang dijalankan Randstad Workmonitor mengenai sistem bekerja dari rumah (WFH) kepada rakyat Malaysia menunjukkan hampir separuh pekerja Malaysia mahukan kombinasi bekerja dari rumah (WFH) dan bekerja di pejabat diteruskan selepas pandemik COVID-19.
Kali selidik itu dijalankan oleh agensi pengambilan pekerja, Randstad.
Berdasarkan kaji selidik Randstad Workmonitor, 48 peratus daripada responden tempatan menginginkan pengaturan kerja yang fleksibel.
Secara perbandingan, purata 35 peratus daripada responden yang ditemu bual di 34 pasaran di seluruh dunia berpandangan konsep gabungan ini adalah pengaturan kerja yang paling sesuai.
Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem, berkata 14 peratus responden Malaysia pula mahu terus kekal WFH manakala peratusan responden yang sama di peringkat global juga ingin terus bekerja dari rumah sepanjang tempoh kerja.
Dasar bekerja yang fleksibel ini boleh membantu mengurangkan tahap tekanan dan meningkatkan semangat dalam kalangan pekerja memandangkan mereka dapat mencari pendekatan untuk mengimbangi di antara kerjaya dengan kehidupan peribadi masing-masing.
"Bagaimanapun, bekerja secara jarak jauh ini juga boleh menjejaskan budaya organisasi berkenaan berikutan konsep ini sukar untuk mengeratkan hubungan sesama warga kerja dan merangsangkan tenaga yang diperlukan bagi kerjasama berkesan.
"Justeru, syarikat perlu melakukan langkah kecil ke arah mencari strategi seimbang yang dapat mengekalkan budayanya dan memenuhi harapan pekerja," katanya dalam satu kenyataan.
Kaji selidik itu dijalankan secara dalam talian pada Oktober di 34 pasaran di Amerika, Asia Pasifik dan Eropah dengan minimum 400 responden bagi setiap pasaran.
Hasil dapatan kaji selidik itu juga mendapati ramai majikan mempercepat pembangunan kemampuan teknologi masing-masing supaya dapat melengkapkan warga kerja mereka dengan perkakasan dan perisian yang cukup untuk bekerja dari rumah ekoran pandemik.
Naeem berkata, lebih empat dalam kalangan lima responden (82 peratus) berpandangan mereka mempunyai kelengkapan dan teknologi untuk melaksanakan digitalisasi dalam pekerjaan mereka.
Sementara itu, lapan daripada 10 responden merasakan majikan masing-masing memberi sokongan dari segi mental dan emosi dalam menghadapi pandemik ini.
Satu daripada tiga responden amat berharap majikan mereka boleh menyediakan program bantuan pekerja pasca COVID-19.
Satu daripada dua responden pula mengharapkan majikan mereka menyediakan dasar kesihatan yang baik dan protokol keselamatan (52 peratus) di samping akses kepada insurans kesihatan (51 peratus).
Sumber: Berita Harian Kredit Foto: Forbes
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live