Tahun 2023 menyaksikan pelbagai program menarik dari Korea Selatan yang boleh distrim oleh penonton menerusi platform penstriman popular, Disney+ Hotstar.

BERITA TRENDING: Basah Dengan Emosi, Larut Dalam Memori… Ini 4 Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton Filem The Little…

Antara kandungan yang meraih perhatian umum termasuklah Big Bet dan Moving. Populariti drama Moving terbukti mencetuskan fenomena apabila ia berjaya meraih pelbagai anugerah antarabangsa dan menjadi kandungan dengan jumlah tontonan tertinggi di Disney+ Hotstar.

Sejajar dengan kejayaan itu, Disney+ Hotstar kembali dengan rangkaian program dari Korea menarik khas untuk penonton sepanjang tahun ini.

Program-program tersebut termasuklah Blood Free, Unmasked, The Tyrant, Gangnam B-Side, The Zone: Survival Mission Musim Ketiga, Uncle Samsik dan Light Shop.

BERITA TRENDING: Adinia Wirasti Dedah Perbezaan Antara Siri Mendua Dengan Doctor Foster, The World Of The Married

Naib Presiden Eksekutif, Unit Strategi Kandungan Original, The Walt Disney Company, APAC, Carol Choi berkata, rangkaian program yang diumumkan adalah kesinambungan momentum program Korea yang tercetus sepanjang tahun 2023 dalam kalangan penonton tempatan.

“Koleksi program original Korea kami yang diumumkan hari ini meneruskan momentum dan kejayaan program APAC pada tahun lepas.

“Kami akan terus mengembangkan aspirasi kreatif kami dengan koleksi original APAC kami yang mengutamakan penceritaan berkualiti dan bakat-bakat terbaik, dengan kerjasama para pencerita yang tersohor di rantau ini,” katanya.

Berikut merupakan sinopsis program-program yang bakal mewarnai Disney+ Hotstar pada 2024:

Blood Free
Blood Free yang dibintangi Ju Jihoon (Kingdom) dan Han Hyojoo (Moving) mengisahkan seorang bekas pengawal peribadi yang dihantui kegagalan masa lalunya. Selepas mengharungi satu peristiwa, dia akhirnya direkrut untuk melindungi CEO sebuah syarikat daging kejuruteraan genetik yang penuh kontroversi. Plot cerita bertambah rancak apabila CEO itu juga adalah survivor satu serangan yang sama yang telah mengubah nasib watak protagonis itu.

Unmasked
Berlatarbelakangkan Seoul moden, Unmasked mengikuti sekumpulan wartawan penyiasat yang terpaksa berjuang mempertahankan kerjaya mereka selepas menyiarkan satu kisah penuh kontroversi. Dengan masa semakin suntuk, pasukan itu diberi satu tugasan yang mencabar untuk menyelamatkan kerjaya mereka – mampukah mereka menyelesaikan satu kes berusia 20 tahun di mana seorang pelakon terkenal telah hilang tanpa jejak? Dibintangi Kim Hyesoo (Under The Queen’s Umbrella).

The Tyrant
Siri ini bercerita tentang seorang ejen kerajaan Amerika Syarikat yang berusaha merampas semula virus berbahaya yang dicuri daripada kerajaan Korea Selatan. Di tengah-tengah misi getir itu, saksikan bagaimana agensi perisikan global memerangi kuasa jahat untuk menghalang perebakan virus ke seluruh dunia.

Gangnam B-Side
Drama bersiri jenayah ini mengisahkan seorang detektif terpinggir yang diheret semula kepada kerja siasatannya setelah anak perempuannya hilang. Susulan insiden itu yang membabitkan ramai wanita lain yang hilang di kawasan Gangnam, detektif itu turun kembali ke dunia maksiat, dadah dan rasuah bagi membongkar satu agenda yang berniat menjatuhkan elit-elit terkaya di bandar itu.

The Zone: Survival Mission – Musim 3
Rancangan aneka ragam Disney+ Korea ini yang kembali untuk musim ke-3 juga membawa kembali hos Kwon Yuri dan Yoo Jaesuk, yang kali ini disertai dua hos baharu — Kim Donghyun (bekas bintang UFC) dan Dex (personaliti Youtube). Bersama-sama, mereka berempat akan mengharungi detik-detik yang lebih mendebarkan berbanding musim dahulu, tatkala mereka berhempas pulas menyelesaikan pelbagai misi yang semakin kompleks.

Uncle Samsik
Dibintangi Song Kangho (Parasite) dan Byun Yohan (Mr. Sunshine), Uncle Samsik merupakan sebuah drama kemasyarakatan yang berlatarbelakangkan Korea 1960-an. Ia mengisahkan seorang ahli politik yang idealistik, serta seorang pembantu politik misteri, dikenali sebagai Uncle Samsik yang beraksi di belakang tabir. Saksikan bagaimana pasangan itu bekerjasama untuk mengubah Korea pasca perang yang miskin kepada negara makmur, di mana semua rakyat mampu makan tiga kali sehari.

Light Shop
Light Shop diadaptasi daripada kartun internet popular yang berjudul sama. Ia mengikuti perjalanan sekumpulan orang yang saling tidak mengenali, yang masing-masing sukar berdamai dengan trauma lampau. Tatkala menjalani kehidupan harian seperti biasa, setiap watak itu secara misteri tertarik ke satu kedai lampu yang terletak di hujung lorong yang gelap. Kedai itu dijaga oleh seorang penjaga yang tajam, dan menyimpan kunci kepada masa lalu, masa kini dan masa depan semua watak itu.

Dibintangi Ju Jihoon (Kingdom), Lee Jungeun (Parasite), Park Boyung (Oh My Ghost), dan Bae Seongwoo (Veteran), pengumuman hari ini mendedahkan siri baharu ini yang ditunggu-tunggu. Light Shop adalah hasil karya Kangfull, yang juga merupakan penerbit naskhah Moving yang memecah rekod pada 2023.

Strim drama bersiri, filem dan rancangan aneka ragam menerusi aplikasi Disney+ Hotstar Astro Ultra Box dan Ulti Box.