Majalah People menyenaraikan komposer, penyanyi dan kini juri rancangan realiti The Voice, Blake Shelton sebagai lelaki paling seksi tahun 2017.

Majalah popular itu akan mengangkat ikon tersebut untuk menghiasi muka hadapan edisi November setiap tahun.

Blake, 41, disifatkan mempunyai pesona tersendiri dan mampu membuatkan ramai hati wanita cair apabila berdepan dengannya.

Hal itu terbukti apabila penyanyi Gwen Stefani sendiri jatuh hati dengan Blake ketika digandingkan dalam rancangan realiti The Voice beberapa tahun lalu.

Malah, Blake juga menempa kejayaan dalam bidang perniagaan apabila baru membuka sebuah restoran makanan segera berkonsepkan 'country' di Oklahama, Amerika Syarikat baru-baru ini.

"Blake Shelton merupakan lelaki paling seksi tahun ini dan paling penting dia sudah tidak sabar untuk menunjukkan wajahnya di edisi terbaharu People kepada Adam Levine," tulis People.

Selain Blake, Zac Efron, Kumail Nanjiani, 50 Cent dan Armie Hammer tersenarai antara lima lelaki paling seksi menurut majalah People tahun ini.






"Sepanjang hidup saya rasanya tidak pernah rasa seksi jadi jika tahun ini saya disifatkan seksi, saya terima penghargaan ini," kata Blake.


Terdahulu, pelakon dan ahli gusti The Rock, Channing Tatum dan Chris Hemsworth pernah diangkat sebagai Lelaki Paling Seksi beberapa tahun sebelum ini.

The Rock diangkat sebagai Lelaki Paling Seksi 2016 manakala David Beckham pada tahun 2015.

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: ABC News, People