Aktres jelita, Che Puan Juliana Evans yang kini sedang hamil enam bulan berhasrat untuk menimang cahaya mata perempuan.

Menurut Juliana, dia mahu seorang anak perempuan kerana sudah punyai ramai saudara lelaki di sebelah keluarganya sendiri mahupun keluarga suaminya.

"Kalau boleh, saya nak anak perempuan sebab dah ramai lelaki dalam keluarga saya dan keluarga suami saya.

"Jadi saya amat berharap agar dikurniakan anak perempuan, jika Tuhan berikannya kepada saya, syukur Alhamdulillah," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Juliana berasa gembira kerana tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius sepanjang kehamilan pertamanya ini.

"Alhamdulillah, saya gembira kerana tiada sebarang masalah kesihatan yang serious, kalau ada pun sedikit sahaja ketika di awal kehamilan, sekarang semuanya baik-baik sahaja," tuturnya menutup bicara.

Pemilik nama sebenar Juliana Sophie Evans ini telah mendirikan rumah tangga bersama Tengku Shariffuddin pada 30 April 2017.

Juliana mulai aktif di industri hiburan tempatan pada tahun 2001 dan berjaya mengekalkan popularitinya sehingga kini menerusi lakonan dalam filem serta drama tempatan.