Pada Ahad, lalu acara Sesi Bertemu Peminat Shooting Star Asia Tour yang menampilkan empat pelakon drama Boys Over Flowers, Bright Vachirawit, Win Metawin, Dew Jirawat and Nani Hirunkit telah berlangsung dengan meriah.

Pertama kali datang bertemu peminat di Kuala Lumpur, baik Bright, Win, Dew mahupun Nani, masing-masing teruja melihat wajah-wajah peminat yang menyokong karier mereka sebagai pelakon sejak sekian lama.

Ingin tahu perkara-perkara menarik yang berlaku sepanjang acara Sesi Bertemu Peminat Shooting Star Asia Tour yang berlangsung di Pusat Konvensyen Tropicana Garden Mall itu? Jom semak!

Aku cinta padamu
Bright, Win, Dew dan Nani memulakan persembahan dengan lagu tema Boys Over Flowers iaitu Who Am I. Menerusi sesi temubual yang dijalankan bersama pengacara Nadia Annuar, mereka berempat melahirkan rasa teruja singgah ke Malaysia selain menghadiahkan kata-kata ‘aku cinta padamu’ dan ‘kamu sangat cantik’ kepada yang hadir.

Album solo Bright
Ketika temu bual dijalankan, Bright mendedahkan yang dia juga kini sibuk untuk menyiapkan album solo perdananya. Begitupun, pelakon drama In Time With You itu enggan berkongsi lanjut mengenai albumnya itu.

Projek besar Nani
Selain Bright, Nani turut mendedahkan yang dia kini dalam persediaan bagi sebuah projek besar dan mengingatkan peminat supaya bersabar menanti pengumuman rasmi selepas ini. Nani kemudian menyampaikan lagu Best Life, iaitu salah sebuah lagu tema bagi Boys Over Flowers versi Thai diikuti Dew dengan lagunya ‘In The Wind.

Nama Win
Sesi wawancara diteruskan lagi dengan beberapa permainan yang dikelolakan oleh Nadia. Selain meneka nama lagu nyanyian Bright, Win turut memberitahu yang namanya berasal daripada sebuah nama majalah. Seterusnya, Win mendendangkan lagu “That Person Must Be You diikuti Bright menerusi persembahan dengan lagu solonya iaitu Lost & Found.

Bright mahu jadi penyanyi kaya

Menerusi sesi wawancara, Bright turut mendedahkan yang jika dia tidak bergelar pelakon, dia mahu menjadi seorang penyanyi… penyanyi yang kaya-raya!

Pada acara berkenaan, peminat-peminat juga berkesempatan menyediakan sebuah video yang memaparkan detik-detik melucukan dan menyentuh hati sepanjang perjalanan idola mereka.

Pada akhir video, para peminat mengucapkan selamat hari jadi kepada Dew dan Nani yang baru sahaja menyambut hari lahir pada 30 Oktober lalu.

Penganjur acara, Aco Media dan Asia Momentum Media (AMM) turut memberi kejutan dan menyediakan kek hari jadi kepada Dew dan Nani. Para peminat yang hadir kemudian menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi secara beramai-ramai idola mereka. Mereka berempat kemudian menutup tirai persembahan dengan lagu Shooting Star.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!