Pelawak dan pengacara terkenal, Jihan Muse mengakui dia kini tidak boleh sewenang-wenangnya untuk menerima tawaran kerja yang banyak pada satu-satu masa.

Jihan, 37, berkata, selepas bergelar ibu, dia perlu mempertimbangkan banyak perkara termasuklah keutamaan yang perlu diletakkan kepada anaknya.

"Kalau dulu atur jadual kerja sahaja. Sekarang ini nak kena tengok jadual anak dan suami. Kalau kena masa, boleh masuk, baru boleh terima tawaran.

"Jika dulu boleh ambil dua job sehari, sekarang dah tak boleh. Bukan saya tak mahu buat, cuma, saya kena berkorban demi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu," katanya kepada Gempak.

Jihan ditemui sewaktu sidang media program I Can See Your Voice musim ketiga yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.



Jelas Jihan lagi, biarpun begitu, ia bukan bermaksud dirinya kini menjadi seorang yang cukup selektif dalam menerima satu-satu tawaran yang datang.

"Bukan memilih. Biasalah kita dah jadi mak-mak ini, macam tu lah.

"Saya di usia 30-an baru dapat anak, sebelum ini dah pulun kerja habis-habis. Inilah masanya pula nak beri sepenuh perhatian kat anak pula," ujarnya.

A post shared by JIHAN MUSE (@jihanmuse) on


Katanya lagi, sekarang ini, bukanlah masa untuknya merebut segala peluang yang ada di depan mata.

Sebaliknya, cukuplah sekadar dia mampu mengekalkan momentumnya untuk terus relevan dalam industri.

"Sudah 12 tahun saya berkecimpung dalam industri, bahkan, apa yang saya dapat pada hari ini lebih daripada apa yang saya bayangkan.

"Lagipun, saya bukan jenis yang ada letak sesuatu target, tak ada apa yang nak dikejar lagi. Cuma, sekarang ini perlu kekalkan sahaja sebab saya suka dengan apa yang saya buat sekarang," katanya.

Jihan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ungku Hariz pada Mac 2016.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Ungku Arsalan Haq yang kini berumur dua tahun.