Kumpulan Inteam berkata ‘Konsert Ulangtahun ke-20 Inteam’ yang bertemakan ‘Terima Kasih’ akan menjadi konsert atas talian sepenuhnya sekiranya PKPB disambung lagi.

Ketua kumpulan Insteam, Syahril, berkata, konsert tersebut mendapat sokongan dana melalui Geran DKD (Dana Kandungan Digital) yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Konsert yang kami anjurkan ini, secara majoritinya akan ditonton melalui atas talian dan kami hanya menyediakan tiket untuk hadir ke lokasi konsert dalam jumlah yang sedikit sekiranya PKPB di Selangor ditamatkan pada 6 Disember ini.

“Manakala, sekiranya PKPB disambung lagi, konsert ini akan menjadi konsert atas talian sepenuhnya,” katanya.

Sehingga kini sudah hampir 500 tiket terjual dan Inteam menyasarkan untuk menjual sehingga 3000 tiket keseluruhannya.

"Bagi menarik penonton dari negara jiran juga, kami akan mengadakan jerayawara (roadshow) secara maya melalui aplikasi Zoom bersama penasyid dan peminat dari Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand pada 27, 28 dan 29 November ini,” kata Inteam.

Konsert sempena ulangtahun ke 20 kumpulan Inteam yang akan diadakan pada 12 Disember 2020 ini bakal menampilkan legenda nasyid dan rock tahun 90-an iaitu Hijjaz dan Exists.

Selain itu, generasi baru juga turut kami libatkan dengan menampilkan Khai Bahar, Ikhwan Fatanna dan artis baru di bawah naungan Inteam sendiri iaitu Zayne.

Turut diundang ialah kumpulan UNIC dan Lah Ahmad. Konsert ini akan dihoskan oleh Suffian Amrin (Saujana) dan Dr Fitri Haris bekas anggota kumpulan UNIC.

Konsert berdurasi selama dua jam setengah ini akan menampilkan persembahan lebih 20 buah lagu hits Inteam sejak tahun 2000 sehingga kini.

Antaranya Kasih Kekasih, Impian Kasih, Nur Kasih, Rabiatul Adawiyah, Dia dan banyak lagi. Selain itu, Inteam turut akan berduet dengan artis-artis undangan mereka.

"Kami sangat teruja kerana selain akan berduet dengan senior kami iaitu Hijjaz, kami turut akan bergandingan dengan Exists menyanyikan lagu popular mereka yang masih kami rahsiakan.

“Selain itu kami akan berduet dengan Khai Bahar melalui lagu Setanggi Syurga yang pernah kami rakamkan bersama.

“UNIC dan Lah Ahmad turut akan berduet dengan kami, manakala Ikhwan Fatanna akan berkolaborasi dengan kami dalam satu lagu baru yang menjadi tema konsert berjudul Terima Kasih,” kata Rahim Inteam.

Tiket konsert atas talian berharga serendah RM10, RM25, RM50, RM100 boleh dibeli melalui laman web www.inteam.my.

Manakala RM200 bagi tiket untuk hadir di lokasi konsert di Warisan Hall Studio di Sijangkang dengan jumlah terhad.

Pakej-pakej tiket dilengkapi dengan barangan cenderahati berbeza seperti pelitup muka Inteam, Baju T edisi Khas, lanyard, minyak wangi Inteam dan CD kompilasi keluaran khas sempena 20 tahun Inteam yang memuatkan semua lagu Inteam dari album pertama sehingga terkini yang berjumlah 129 trek dalam format Mp3.