Penyanyi veteran, Datuk DJ Dave memberitahu dia akan terus menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang diraikan pada setiap 14 Februari bersama golongan kurang bernasib baik sepanjang hayatnya.

DJ Dave atau nama sebenarnya, Irwan Shah Abdullah, 72, berkata, sambutan bersama golongan tersebut khususnya dalam kalangan mereka yang terdiri daripada kanak-kanak istimewa sudah menjadi tradisi tahunannya sejak 48 tahun yang lalu.

"Saya akan berusaha meraikan kanak-kanak kurang bernasib baik sepanjang hayat saya. Saya akan cuba nak berikan kegembiraan kepada mereka.

"Kalau saya dah tak larat satu hari nanti pun, saya akan jemput mereka datang ke rumah saya pula untuk meraikan bersama-sama dengan kanak-kanak itu semua," katanya kepada Gempak.

DJ Dave berkata demikian ketika ditemui sewaktu sambutan Majlis Ulang Tahun Kelahirannya yang ke-72 yang disambut bersama Persatuan Sindrom Down Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.



Pelantun lagu Harum Bunga Kembang itu berkata, dia cukup menghargai golongan kurang bernasib baik kerana merekalah yang menjadikan siapa dirinya pada hari ini.

"Ada cerita mengapa saya sentiasa mahu bersama kanak-kanak setiap kali ulang tahun kelahiran. Sebenarnya kerana mereka (kanak-kanak), saya menjadi seorang penyanyi.

"Ada satu hari saya ke sebuah rumah kebajikan di Cheras, ada seorang budak ini datang kepada saya beritahu bahawa suara saya sedap menyanyikan lagu. Jadi, dia meminta saya menyanyikan lagu bahasa Melayu.

"Itulah sebabnya saya keluar dengan lagu Maafkanlah. Lagu itu kemudian menjadi hit. Disebabkan mereka (kanak-kanak) saya menjadi penyanyi," ceritanya.



DJ Dave mula menjadi artis rakaman pada 1972. Ketika itu beliau popular dengan lagu Maafkanlah, Ku Tak Ingin Menangis Lagi dan Harum Bunga Kembang.