Pemain bes XPDC, Zuar atau nama sebenarnya, Azuar Md. Tasi, mengakui telah lama menyimpan hasrat untuk membuat persembahan di pentas berprestij Istana Budaya.

Menurut Zuar, kumpulan XPDC juga mempunyai keinginan untuk beraksi di pentas itu sama seperti selebriti tanah air yang lain.

"Kami memang ada perancangan untuk melakukan persembahan di Istana Budaya, namun sehingga kini belum ada apa-apa kata putus lagi dan kami tidak boleh buka mulut.

"Keinginan untuk beraksi di pentas Istana Budaya tu memang telah lama kami simpan dan sekiranya ada peluang kami sangat bebesar hati untuk mengadakan persembahan di sana.

"Kami dah bergelar otai dan memang layak beraksi di situ. Kami juga faham bukan senang nak beraksi di Istana Budaya.

"Sepanjang berada dalam industri muzik ini kami belum berpeluang menjejakkan kaki membuat persembahan di situ dan itu adalah apa yang kami idamkan selama ini namun ia bergantung pada pihak penganjur," katanya kepada Gempak.

Zuar berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Live Showcase 30 tahun XPDC di Restoran DSaji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Orang ramai yang ingin menyaksikan Live Showcase 30 tahun XPDC boleh dapatkan tiket bermula RM 80 hingga Rm 130.

Live Showcase 30 tahun XPDC akan diadakan pada 9 Februari ini di Restoran DSaji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.