Pelakon Reen Rahim memaklumkan dia dan ibu bapanya telah berangkat kaki ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah semalam.

Justeru, Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 34, meminta maaf atas segala salah silap dirinya dan keluarga.

“Di sini kami memohon maaf seikhlas hati atas semua kesalahan dan kesilapan sama ada secara sengaja atau tidak.

“Halalkan segala apa yang dimakan, diminum atau diambil,” tulisnya dalam hantaran Instagram.

Dalam entri berkenaan dia dan ibu bapanya bergambar di lapangan terbang sebelum berangkat.

Selain itu, Reen juga turut memohon doa agar dia dan kedua orang tuanya diberi kesihatan yang baik, selamat sampai ke destinasi serta dapat menunaikan ibadah umrah dengan sempurna.

“Semoga dilindungi Allah SWT di mana sahaja kami semua berada, sehinggalah selamat pulang nanti.

“Mohon Allah panjangkan umur kami dan semoga dapat umrah yang mabrur, amin,” katanya.

Perkongsian Reen dihujani komen dan doa-doa daripada rakan selebriti serta peminat yang mendoakan agar pelakon itu serta ibu bapanya mendapat umrah mabrur.

A post shared by Reen Rahim (@reenrahim)