Sejak hujung minggu lalu, sepotong video yang memperlihatkan seorang jurulatih bola tampar menampar pemainnya dalam satu perlawanan viral di media sosial.

Difahamkan, jurulatih lelaki tersebut menampar dua pemain bola tampar perempuan menerusi perlawanan 2022 Malaysia U14 Volleyball Championship yang berlangsung di Johor Bahru pada 16 Disember lalu.

Hal berkenaan bukan sahaja menyorot perhatian netizen, malah Menteri Belia & Sukan, Hannah Yeoh turut melahirkan kekesalan terhadap isu tersebut.

Tidak beberapa lama, jurulatih berkenaan dilaporkan telah digantung tugas manakala Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah mengadakan perjumpaan kepada mereka yang terlibat.

Bagaimanapun, viral sekali lagi beberapa ciapan di Twitter yang difahamkan datang daripada kumpulan bola tampar yang dilatih oleh jurulatih berkenaan.

Menggunakan nama @mastanahvc (Malacca Volleyball Club), ciapan-ciapan tersebut dilihat membela jurulatih tersebut daripada tohmahan orang ramai.



“Kami sebagai pemain-pemain yang dilatih dan juga bermain untuk pasukan bawah 14 dan 16 tahun Melaka.

“Beliau bukan gemuk dan botak yang korang boleh hina. Beliau coach kami yang melatih kami daripada hatinya yang ikhlas, sehingga kami berjaya mencipta satu sejarah baharu untuk negeri Melaka.

“Henti viralkan isu ini kerana kami sayang coach kami. Biarkan kami yang menilai baik dan buruknya. Kami sentiasa berdiri teguh di belakang coach kami dan pasukan kami kerana kami pasukan Melaka,” kata ciapan berkenaan.

Begitupun, ramai antara pengguna Twitter yang dilihat kecewa dengan ciapan itu.

“Dik dah besar nanti baru sedar benda ni salah, korang tak boleh patah balik tau. Korang biarkan diri korang kena treat macam ni walaupun dalam dunia sukan yang lasak, parents pun tak sanggup buat anak macam ni. Tapi korang terima. Entahlah siapa OP Twitter ni tapi hadam jelah."

“Memang sekarang kita sayang coach kita dik. Dia tampar ke sepak terajang ke kita reda je sebab sekarang kita sayang dia, kita cakap. Nanti bila kita dah besar, barulah kita faham menyesalnya dulu tak pertahankan diri sendiri. Ajar, ajar jugak. Batas jangan dilanggar.”

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.