'Kami Semua Terdiam, Dia Perlu Kembali Ke Hospital' - Ibu Fatimah London
Keluarga ‘Fatimah London’ atau nama sebenarnya, Fatimah Omar Mukhlis hari ini berkongsi perkembangan kesihatan kanak-kanak itu ketika beberapa hari lagi umat Islam bakal meraikan Aidilfitri.
Dalam kemas kini di Instagram thefamilyuk yang dipercayai ditulis oleh ibu kanak-kanak itu, Nor Ashila Mahamed Ismail, dia menggambarkan Fatimah perlu bersedia secara mental untuk kembali ke hospital.
Tanpa memaklumkan secara jelas mengenai status kesihatan Fatimah, Nor Ashila menyifatkan bahawa mereka sendiri tidak bersedia sepenuhnya untuk menerima 'berita buruk'.
"Apabila doktor memberitahu Fatimah untuk bersedia secara mental kerana dia perlu kembali ke hospital, kami semua terdiam...
"Walaupun, kami lebih kurang sudah tahu dan menjangkakan hari itu akan datang, pada saat itu, kami tidak benar-benar tahu bagaimana untuk memberi reaksi selepas mendengar berita seperti itu.
"Tiada siapa yang mengajar atau membimbing kamu tentang bagaimana untuk memberi reaksi terhadap perkara-perkara seperti ini. Begitulah kehidupan, ia tidak datang dengan manual," katanya dalam entri tersebut.
Berkongsi lanjut, Nor Ashila berkata ketika doktor memberitahu 'berita' tersebut, kesunyian menyelubungi bilik itu dan masa seolah-olah terhenti.
"Rasanya hampir semua dalam kalangan kami seperti berhenti bernafas... dan, tiba-tiba tanah terasa bergoyang. Ia rasa seperti segala-galanya jatuh. Dada saya terasa sangat sesak.
"Saya memandang sekeliling bilik dan melihat kedua-dua iaitu bapa Fatimah dan Omar Mukhtar (anak lelaki) juga terdiam," tambahnya.
Melihat situasi tersebut, Nor Ashila menarik nafas dalam-dalam dan cuba menahan air mata daripada jatuh, sebelum memandang Fatimah lalu tersenyum.
"Saya akhirnya memutuskan untuk memecah kesunyian... Saya berkata "tidak apa-apa".
"Saya perlu kuat untuknya (Fatimah). Saya tahu bahawa dia perlu untuk meminjam sebahagian daripada kekuatan kami pada masa-masa seperti ini," katanya.
Nor Ashila menjelaskan mereka bertanya kepada doktor jika boleh menjadualkan kepulangan Fatimah selepas hari raya dan dimaklumkan bahawa anaknya itu akan lebih gembira untuk kembali ke rumah.
Dalam masa sama, dia menzahirkan rasa syukur kerana mereka sekeluarga berpeluang menyambut Ramadan bersama pada tahun ini.
"Semoga kita masih mempunyai masa yang cukup untuk menyambut hari raya bersama di rumah, sementara pasukan perubatan dari kedua-dua hospital menyusun rancangan baharu untuk pemeriksaan lanjut Fatimah, rawatan susulan dan ubat.
"Kami berdoa agar kami masih dapat menguruskan keadaan Fatimah dari rumah selagi mampu. Semoga ada keajaiban…," katanya.
Pada Mac tahun lalu, Fatimah dilaporkan menerima rawatan di Hospital Birmingham, United Kingdom, dan menjalani biopsi bagi mengetahui penyakit sebenar yang dialami.
Bagaimanapun, keluarganya dilaporkan belum bersedia berkongsi dengan umum secara terperinci penyakit yang dihadapi.
Sejak berusia tiga tahun, Fatimah mencuri perhatian ramai kerana kefasihan kanak-kanak itu bertutur dalam dialek Kelantan dan beberapa bahasa lain termasuk Inggeris dan Siam.
Sumber: Astro AWANI