Berita

“Kami Sudah Tidak Sefahaman, Suami Selalu Curang" - Bella Beritahu Mahkamah

gempak
Fiza Kamarudin
16/05/2019
09:41 MYT
Sponsor Banner
“Kami Sudah Tidak Sefahaman, Suami Selalu Curang" - Bella Beritahu Mahkamah
Bekas isteri kepada penyanyi Aliff Aziz, Bella Astillah mengucapkan terima kasih kepada netizen yang telah mendoakan dirinya dan keluarga.
Bella yang sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini (Khamis), memuat naik posting di akaun Instagram (IG), sebaik sahaja prosiding selesai.
Foto Bella memakai selendang berwarna hitam itu telah mendapat lebih 100 ribu tanda ‘suka’ dengan hampir 10 ribu komen daripada netizen dan rakan artis.
“Alhamdulillah semua dipermudahkan tadi. Mungkin sampai sini sahaja jodoh saya dan Aliff. Semoga selepas ini saya dapat menjadi ibu yang baik buat Ayden.
“Dan terima kasih kepada yang tak putus-putus mendoakan saya dan keluarga. Apa yang terjadi adalah takdir Allah SWT dan Bella redha.
“Allah SWT knows best,” tulisnya.
Rata-rata komen memberi semangat dan kata-kata motivasi buat Bella supaya terus kuat dan berjaya pada masa hadapan.
Mereka turut percaya Bella akan menjadi ibu yang baik kepada Ayden.
Lafaz cerai dibuat Aliff di hadapan hakim Syarie, Izzat Syazli Murshid lebih kurang jam 3.55 petang tadi dalam satu prosiding sebutan.
Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, selaku plaintif telah membuat permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-unang Keluarga Islam 1984.
Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 28, dilihat menangis sepanjang prosiding berlangsung.
Ditanya punca perceraian itu oleh hakim, Bella menjawab, mereka sudah tidak bersefahaman dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak tiga bulan lalu.
"Kami tidak ada persefahaman dan suami selalu curang," jawab Bella dengan suara tersekat-sekat.
Sehubungan itu mahkamah memerintahkan Bella beredah sebanyak tiga kali suci dan mahkamah memerintahkan sijil nikah mereka dibatalkan.
Aliff turut bersetuju untuk membayar nafkah anak sebanyak RM1,000 sebulan yang akan dimasukkan ke akaun Bella bermula Mei 2019.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024