Pasangan selebriti Datuk Fizz Fairuz dan Datin Almy Nadia ingin membantu rakan artis yang sedang berniaga makanan dengan membeli produk atau jualan mereka.

Menurut Fizz, makanan dan jualan yang dibeli akan disumbangkan kepada pihak yang memerlukan termasuk fakir miskin, anak yatim dan frontliners.

“Satu pengumuman ringkas…Kami nak mencari rakan artis yang sedang berniaga tidak kira secara online atau mengambil tempahan catering dan sebagainya untuk menghubungi kami.

“Kami perlukan makanan dari jualan anda untuk kami beli dan kemudian kami akan beri dan sumbangkan kepada orang yang memerlukan,” kata Fizz.

Mereka memaklumkan perkara tersebut di akaun Instagram peribadi Almy.

Sementara itu, Almy memberitahu dengan cara tersebut mereka dapat membantu anak seni yang terjejas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau ‘total lockdown’ ini.

“Dalam keadaan sekarang kami tahu ramai yang terjejas terutama mereka yang berada dalam industri seni kerana tidak dapat menjalani penggambaran dan sebagainya.

“Jadi kami akan membuat pembelian setiap hari Jumaat untuk disumbangkan juga kepada yang memerlukan,” katanya lagi.

Entri tersebut turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata memuji usaha mereka.

A post shared by FizzAlmy (@almynadiaofficial)