Kumpulan Bos yang dianggotai oleh Ajo, Abu dan Ezad Lazim mengaku terkejut dengan komen diberikan oleh juri jemputan Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016), Scha Alyahya.

Menurut Abu, mereka menjangkakan Scha akan memberikan Meter Ha yang lebih baik berdasarkan persembahan Bos yang mendapat sambutan penonton.

“Kami terkejut kerana kami merupakan kumpulan pertama yang dapat dua Ha dari juri. Asalnya kami ingat mungkin boleh dapat komen yang lebih positif berbanding minggu sebelumnya.

“Ianya seakan satu tamparan buat kami untuk buat lebih baik untuk minggu yang seterusnya,” kata Bos kepada Astro Gempak.

Jelas Bos, faktor tema juga memberi cabaran sehingga mempengaruhi persembahan mereka di minggu ketiga MLM 2016.

“Kami sebenarnya takut dengan tema Bollywood sebab risau kumpulan lain akan buat persembahan yang sama. Jadi bila kami fikir buat sesuatu yang baru, peminat pula tidak boleh terima. Pada kami, lawak ini memang sangat subjektif.

“Lawak juga sebenarnya luck atau ikut rezeki juga. Ada yang lawak gempak tapi tiada sambutan, ada pula yang lawak biasa-biasa tapi penonton suka,” ujar Bos.

Walau bagaimanapun, Bos menganggap komen Scha sebagai pemangkin semangat untuk mereka lebih berusaha dan buat yang terbaik pada minggu seterusnya.

“Secara keseluruhan komen Scha merupakan pemangkin semangat untuk bos buat lebih baik minggu depan. Untuk kami mudah sahaja, kami memegang pada prinsip, apa yang berlaku pada hari ini, esok pagi bangun merupakan hari yang baru,” kata Bos.

Dalam pada itu, Bos turut menyangkal dakwaan Scha mengenai persembahan mereka tiada jalan cerita menarik.

“Sebenarnya jalan cerita kami memang ada, tetapi masa yang terlalu singkat. Jadi kami agak terkejar-kejar dan tidak sempat habiskan persembahan kami. Boleh kata 40 peratus lagi yang tak sempat dibawakan,” kata Bos lagi.

Minggu ketiga MLM 2016 menyaksikan Chilok dan peserta solo Kavin diumumkan sebagai peserta yang tersingkir selepas berada di kelompok tiga terbawah untuk dua kali berturut-turut.

Teks Oleh: Khalid Rahman