Pengacara yang sedang meningkat naik, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan menafikan dakwaan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon dan pelawak Zizan Razak.

Khabar angin mengenai Hawa dan Zizan kononnya sedang bercinta apabila tular foto mereka ‘berbasikal bersama’.

“Kami tidak pernah berlaku. Sebenarnya saya bersama kumpulan saya, dia pula dengan kawan-kawan dia.

“Kami terserempak dan bergambar bersama, itu sahaja. Cerita kononnya kami selalu berbasikal bersama itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Tambah pengacara berusia 25 tahun ini lagi, dia juga tidak pernah memikirkan soal cinta buat masa sekarang kerana mahu fokus kepada kerjaya terlebih dahulu.

“Jujur saya katakan yang saya tak ada masa nak bercinta. Sekarang ini pun dah macam-macam komitmen saya ada.

"Saya masih baru dalam bidang pengacaraan dan akan cuba yang terbaik setiap masa dan ketika. Saya sebenarnya mempunyai cita cita yang banyak.

"Saya minat fesyen, perniagaan dan education. Sekarang pun masih belajar sambil bekerja. InsyaAllah akan fokus satu persatu.

"Sekarang ini selain mengacara, saya juga sedang belajar, bila masa pula nak cari pasangan tu,” katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai kritikan dilemparkan terhadapnya pemakaian ketika berbasikal, Hawa berkata dia mengambilnya sebagai teguran membina.

“Terima kasih kerana menegur saya. Saya positif sahaja dan sekarang ini saya juga sedang memperbaiki cara berpakaian ketika melakukan sukan itu, Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu Hawa turut memberikan komen apabila dikatakan menyertai sukan berbasikal hanya sekadar mengikut trend.

"Berbasikal sudah bermula sejak july 2019, dan memang selalu berbasikal sewaktu kanak-kanak dan remaja.

"Berhenti seketika kerana ibu bapa risau akan keselamatan dan sebab itu saya lebih cenderung dalam bidang tarian dan pernah mewakili Selangor dan Malaysia ke Eropah.

“Dan sekarang ini saya kembali berbasikal kerana jumpa kawan-kawan yang mempunyai minat sama," katanya.