Berita
“Kamu Nampak Sangat Tenang & Indah...”- Sazzy Falak Terbang Ke Jakarta, ‘Jumpa’ Ashraf Sinclair Kali Terakhir
Pelakon dan pengacara, Sazzy Falak sempat memberi penghormatan terakhir buat sahabatnya arwah Ashraf Sinclair selepas bergegas terbang ke Jakarta sebaik sahaja menerima berita pemergian yang mengejutkan itu.
Sazzy yang ditemani suami, Nash Idrus sempat melihat pengebumian Ashraf di kompleks pemakaman San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat, Indonesia pada Selasa.
Menurut Sazzy yang berada di majlis pengebumian itu, Ashraf kelihatan sangat tenang dan semua proses serta urusan jenazah dipermudahkan.
“Kamu kelihatan sangat tenang dan indah Ash (panggilannya untuk arwah). Semuanya berlaku seperti magik harini dan kami tiba disini dengan mudah tanpa halangan.
“Kasih sayang yang diberikan oleh semua sangat hebat kerana kamu seorang yang sangat baik dan penyayang.
“Kamu telah menyentuh hati semua orang. Hati saya juga pilu tapi saya juga bangga apabila melihat ramai yang menyayangi kamu,” tulisnya.
Sazzy berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya menerusi InstaStory.
Sebagai teman rapat, hati Sazzy terkesan dengan pemergian aktor yang menempa nama di negara seberang itu akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia, pagi semalam.
Sazzy dan arwah Ashraf pernah bergandingan menerusi program Beat TV, selain membintangi drama Gol & Gincu suatu ketika dulu.
Menceritakan kembali bagaimana Sazzy menerima perkhabaran tersebut, ibu kepada anak kembar itu akui sangat terkejut.
“Saya masih mengimbas kembali momen ketika membaca mesej pemergian kamu pagi tadi dan bagaimana luruh jantung ini. Bagaimana berita yang disiarkan menyentap nafas ini.
“Saya sampai terlempar sandwic yang berada di tangan dan berlari ke Nash (suami) hingga terdiam tanpa bicara. Saya berikan telefon kepada Nash dan dia sendiri cukup terkejut.
“Kamu pergi terlalu awal sahabatku. Kamulah antara insan yang akan meyakinkan saya dalam suatu keadaan diri ini tidak pasti. Kamu juga sangat peka, sangat memahami dan cukup menyedari bagaimana proses hidup ini.
“Memori kamu akan terus hidup dan saya akan pastikan perkara itu. Saya harap kamu tenang di sana, Ash,” tulisnya.
Sazzy turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kandung dan mentua arwah.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan semoga beliau ditempatkan bersama kalangan yang beriman,” ucapnya.
Ashraf Sinclair, pelakon kelahiran Malaysia yang menempa nama di Indonesia itu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira jam 4.40 pagi (waktu tempatan).
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan anak lelaki bernama Noah berusia 10 tahun.
Must-Watch Video