Laman Utama
“Kandungan Itu Memang Dah Tak Ada” - Belum Rezeki, Uqasha Senrose Reda Keguguran Dua Kali
Pelakon, Uqasha Senrose berkongsi khabar duka sudah mengalami keguguran sebanyak dua kali.
Menurut Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu tidak mengetahui dirinya berbadan dua sehinggalah mengalami tempoh haid yang panjang selain sakit pinggang.
Bagaimanapun Uqasha kemudiaannya berjumpa pakar dan doktor mengesahkan telah mengalami keguguran dan pembedahan sudah dilakukan untuk mengeluarkan gumpalan darah.
“Saya mengalami keguguran dua kali. Pertama semasa mengerjakan umrah, saya datang bulan dan keluar darah yang agak banyak.
“Kemudian apabila pulang ke Malaysia, saya alami lagi period yang teruk dan sakit pinggang.
“Kemudian saya ambil keputusan untuk buat pemeriksaan di hospital.
“Doktor minta saya buat ujian kehamilan dan ternyata alat ujian menunjukkan dua garisan menandakan saya hamil, cuma kandungan tu memang dah tak ada.
“Ternyata saya hamil dua bulan,” ujarnya ketika ditemui Gempak.
Uqasha ditemui Majis Tayangan Perdana Program Ramadan Astro 2023 yang berlangsung pada Khamis.
Namun tambah Uqasha lagi, dia dan suaminya, Kamal Adli menganggap masih belum ada rezeki untuk menjadi ibu bapa.
“Bukan tak nak mengandung dalam masa terdekat, tetapi sekarang ini terikat dengan komitmen dan jadual kerja.
“Namun begitu, saya lega sebab tahu yang saya boleh mengandung. Cuma belum ada lagi rezeki saya dan Kamal,” ujarnya.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021.
Dalam perkembangan lain, Uqasha kini membintangi sebuah drama panjang sebanyak 60 episod berjudul Isteri Halal.
Must-Watch Video