Pelakon yang popular menerusi filem Adiwiraku, Sangeeta Krishnasamy mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kelmarin ketika di set penggambaran drama bersiri Banteras.

Sangeeta memberitahu kecederaan itu berlaku kerana tersalah teknik ketika babak pertarungan bersama salah seorang pelakon pembantu drama tersebut.

"Saya memakai seutas jam tangan untuk babak itu namun saya gagal mengelak dan pukulan terkena pada jam tangan terbabit sampai pecah.

"Kesan daripada itu pergelangan saya berlumuran darah dan terpaksa dirawat sebelum kembali meneruskan penggambaran.

"Selain itu, lebih kurang tiga minggu lalu urat tendon bahu kanan saya juga terkoyak ketika menjayakan babak aksi.

"Lebam-lebam badan tak payah cakaplah," katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Banteras di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, semalam.

Bagaimanapun, kecederaan yang dialami tidak memudarkan semangat pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2017 itu untuk menyambung baki penggambaran selepas sambutan Aidilfitri.

"Kisah yang dekat dengan masyarakat memang menarik minat saya untuk berlakon, tidak kira apa genre sekali pun.

"Apabila ditawarkan untuk drama Banteras ini, saya rasa rugi kalau dilepaskan!" tambahnya.

Banteras merupakan drama bersiri 12 episod hasil kolaborasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Fantasy Films Sdn. Bhd.

Selain Eyka, drama arahan Ghaz Abu Bakar itu turut dibintangi oleh Sangeeta Krishnasamy, Zahiril Adzim, Kamal Adli dan Khir Rahman.

Drama Banteras akan mula ditayangkan di Astro Ria bermula Ogos depan.

Teks oleh: Amri Hassan