Tular di media sosial baru-baru ini apabila seorang lelaki mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan vaksin di sebuah hospital.

Menurut lelaki itu, ketika kejadian dia telah merakam proses suntikan berkenaan.

Namun, apabila melihat semula rakaman itu, dia mendapati tiada cecair vaksin di dalam picagari.

Malah, jarum suntikan juga dilihat tidak ditekan.

Lelaki itu turut mendakwa, dimarahi dan diminta memadam rakaman video berkenaan selepas mendapat suntikan sebenar.

Susulan itu satu laporan polis telah dibuat berhubung kes berkenaan.

Terbaru, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, agak mustahil untuk berlakunya penyuntikan tanpa vaksin kepada mana-mana penerima seperti yang ditularkan.

Beliau berkata, pemberian vaksin Covid-19 sentiasa dijalankan mengikut kaedah terbaik yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Beberapa perkara ditekankan semasa proses pemberian vaksin dilaksanakan iaitu pemberi vaksin atau vaccinator yang terbabit dipastikan terdiri daripada kakitangan yang bertauliah dan terlatih serta dilantik secara rasmi oleh JKNS.

"Sekurang-kurangnya dua kakitangan terbabit dalam tugasan pemberian vaksin di setiap stesen iaitu seorang kakitangan adalah vaccinator.

“Seorang lagi sebagai penyedia vaksin serta sebagai saksi semasa pemberian vaksin dilakukan," katanya menerusi Harian Metro.

Dalam pada itu, polis mengesahkan menerima laporan daripada individu mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika mendapatkan vaksin COVID-19 di sebuah hospital, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd NorSaleh, berkata pihaknya menerima laporan itu jam 6.21 petang.

"Polis sudah membuka kertas inkuiri (siasatan dalaman) berhubung aduan berkenaan," katanya.