Sebuah rakaman video pertunangan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Indonesia menjadi tular di media sosial.

Majlis bertunang itu turut menerima pelbagai reaksi warganet malah ada yang terkejut memandangkan dia masih kanak-kanak.

Perkara biasa

"Ada yang berasa pelik, namun ia adalah perkara biasa di Madura," kata seorang pengguna media sosial.

Pemilik akaun @asiyah juga cuba berseloroh apabila menyatakan ada ibu bapa yang sudah menjodohkan anak mereka sejak masih dalam kandungan.

Klip tersebut yang dikongsi di TikTok jelas menunjukkan kanak-kanak itu yang memakai persalinan berwarna hijau hanya mendiamkan diri dan bersalaman dengan para tetamu ketika peristiwa unik di Desa Banjar Tabuluh, Kecamatan Camplong, Madura, Jawa Timur.

Dia turut diberikan sebentuk cincin dan gelang emas.

Respons ibu bapa

Menurut ibu bapanya, majlis pertunangan itu merupakan nazar mereka ketika di Arab Saudi.

"Kami membuat janji itu dengan bakal besan ketika bekerja di sana," kata bapa kanak-kanak perempuan itu yang dikenali sebagai Haji Zahir.

Ibu kanak-kanak itu pula berkata: "Kami tunangkan anak kami untuk mempereratkan ikatan keluarga, soal nikah itu setelah habis belajar atau mereka memiliki pekerjaan yang stabil,” katanya.

Setelah video itu mendapat perhatian banyak pihak, keluarganya turut didatangi wakil Badan Kependudukan dan Keluarga Berencana Nasional (BKKBN) provinsi Jawa Timur dan pemerintah daerah Kabupaten Sampang untuk memberi peringatan supaya tidak melanggar peraturan ditetapkan.

Sumber: Agensi menerusi Sinar Harian

ARTIKEL BERKAITAN: Raffi Ahmad Mengaku Pernah Minum Air Kaki Basuhan Ibu: “Saya Dapat Semula…”

ARTIKEL BERKAITAN: Skandal Lampau Mentua Dian Sastro Kembali Diulas Netizen Di Indonesia Gara-Gara Sekeping Gambar Ini