Selepas menjalankan kerja mengumpul golongan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Canggang, Banting, pengacara nombor satu negara, tercetus idea Datuk Aznil Nawawi untuk mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil.

Aznil atau lebih mesra dipanggil Pak Nil itu berkata, kedai percuma yang ditempatkan di sebuah kawasan di situ ditubuhkan pada 30 Disember lalu.

"Idea bermula selepas pemberian bantuan kepada mangsa banjir di situ.

“Ketika menjejakkan kaki di sana, saya lihat ramai penduduk ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tinggal sehelai sepinggang," katanya.

Tambahan lagi katanya, kawasan terbabit seakan terpinggir daripada pandangan ramai dan kurang mendapat bantuan orang ramai mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

"Semuanya bermula dengan makanan yang dimasak penduduk kampung secara rewang bermodalkan wang sumbangan yang saya kutip di kalangan pengikut media sosial saya.

"Ketika itu dalam sehari kami berjaya menyediakan hampir 1000 bungkusan makanan kepada mangsa banjir. Malah selepas banjir surut, mulalah mereka bergerak pulang dari PPS ke rumah masing masing.

"Ketika itu saya tinjau dan amati, kesemua mereka terpaksa mengumpul barang semula dan membaik pulih rumah mereka. Bahkan barang keperluan asas mereka tiada langsung.

“Daripada situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma berkenaan," katanya.

Tambah Pak Nil lagi beliau menghubungi syarikat yang pernah bekerjasama dengannya seperti jenama Eskayvie dan Nakada.

"Pihak jenama itu bermurah hati untuk menghantar barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal, lampin bayi dan sebagainya.

"Timbul idea juga untuk mengumpul belian barang asas ini menerusi duit sumbangan orang ramai. Saya beli sendiri barangan itu menggunakan duit sumbangan diberikan.

"Ia kemudiannya diletakkan di sebuah kedai di kawasan berkenaan yang diberi nama Kedai Percuma Paknil.

“Mangsa banjir boleh ke kedai itu untuk mengambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka sahaja.

"Kedai ini mengalu-alukan barangan keperluan yang boleh dihantar terus ke sana atau menyalurkan duit sumbangan ke akaun saya.

"Jadi saya boleh terus tambah barangan keperluan itu. Bagi yang mahu menyumbang boleh ke akaun Instagram @aznilnawawihm untuk menyemak butiran lanjut atau 'bank in' ke 564735801178.

"Kedai ini akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta," katanya.

Selain itu, Pak Nil turut menggunakan akaun media sosial Instagram dan TikTok mencari dana untuk disalurkan kepada mangsa banjir di kawasan itu.

“Subhanallah… rakyat Malaysia sesungguhnya masyarakat yang pemurah. Hari pertama saya umum pembukaan tabung khas membantu mangsa banjir Bukit Canggang, sambutan yang diterima sungguh luar biasa.

“Menangis saya melihat keprihatinan rakyat Malaysia. Dana yang disalurkan itu saya agihkan kepada wakil saya di sana.

“Walaupun, tidak banyak yang diterima setiap mangsa, namun, sekurang-kurangnya mereka di sana tahu bahawa seluruh negara turut sama bersedih dengan nasib mereka dan mahu berkongsi rezeki.

"Itulah yang menjadi motivasi buat saya untuk meneruskan kerja kemanusiaan ini,” katanya.

Dalam pada itu Pak Nil sempat berkongsi kunjungannya ke sana beberapa kali.

“Sedih tengok keadaan mereka. Saya sentiasa membayangkan saya atau keluarga saya melalui ujian dan dugaan itu.

"Kerana itu, saya tidak mampu duduk berpeluk tubuh, saya perlu lakukan sesuatu untuk membantu mereka membina hidup kembali," katanya.