Pelakon Meerqeen memberitahu dia terpaksa menolak dan menangguhkan beberapa tawaran di Indonesia disebabkan mahu memberi keutamaan kepada drama lakonannya di Malaysia.

Menurut Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, tiada pelakon yang boleh menggantikan wataknya dalam drama yang menaikkan namanya itu.

“Kedengaran agak gila tolak dan tangguh beberapa tawaran di Indonesia tetapi fokus ketika ini ialah untuk Melur Untuk Firdaus 2. Bagi saya, tiada sesiapa yang boleh ganti pelakon untuk watak Firdaus selain saya,” katanya kepada Gempak.

Selain rasa cinta terhadap watak, jadual yang bertindih dengan tawaran lain juga adalah salah satu faktor terpaksa menangguh impian untuk bergelar bintang filem di Indonesia.

“Ya, jadual bertindih tetapi sekiranya masih diberikan peluang, rezeki dan masa, Insya-Allah saya akan tetap melebarkan sayap di sana.

“Konsep di Indonesia, jika mereka hendak pelakon itu, mereka pasti tetap akan mendapatkannya dan sanggup menunggu.

“Apa pun, keutamaan saya tetap di Malaysia dan membolosi industri hiburan di sana pastinya bukan impian saya sahaja tetapi semua pelakon tanah air lain,” ujarnya.

Sebelum ini, Meerqeen pernah membintangi drama terbitan Indonesia berjudul Modus Operandi yang turut dibintangi Krito Immanuel, Yusuf, Mahardika, Diandra Agatha dan Maudy Effrosina.

Pada malam Anugerah Gempak Most Wanted 2022, dia turut meraih Anugerah Video Trending Tergempak menerusi video #swipechallenge.

Selain itu, drama Melur Untuk Firdaus lakonannya dengan Anna Jobling turut menang kategori Dram Trending Tergempak pada Anugerah Gempak Most Wanted yang berlangsung di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam.