Tular sejak semalam apabila seorang pemuda ditolak keluar daripada kenderaannya selepas cuba mengejar penjenayah yang memecahkan tingkap kereta miliknya.

Video berkenaan kemudian mencetuskan kebimbangan ramai apabila penjenayah tersebut tergamak melakukan tindakan sedemikian terhadap mangsa.

Namun, menurut laporan polis, mangsa merupakan seorang penyampai berita dan akibat kejadian itu lelaki berkenaan mengalami luka di tangan, jari kanan serta lutut kanan akibat diseret kereta Perodua Myvi dipandu suspek yang bertindak melarikan diri.

Difahamkan, ketika kejadian, Khairul Rizuan Azizan meletakkan kereta Honda City miliknya di tepi jalan untuk ke sebuah kedai serbaneka di lokasi terbabit.

"Sebaik tiba kedai serbaneka itu, saya mendapati premis berkenaan tutup dan kembali semula ke kereta.

"Ketika itu, saya melihat seorang lelaki memakai jaket sedang menendang tingkap bahagian penumpang hadapan kereta saya," katanya.

Tambahnya, lelaki itu juga dilihat mengambil beg miliknya yang ditinggalkan di dalam kereta.

"Saya kemudian menjerit ke arah lelaki terbabit menyebabkannya membaling beg itu sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

"Saya cuba mengejar dan sempat menumbuk mukanya yang ketika itu sudah berada di dalam kereta.

"Namun, suspek bertindak memecut kereta menyebabkan saya terseret di jalan sebelum dapat melepaskan diri," katanya menerusi Harian Metro.

Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood memaklumkan mangsa cedera ringan dalam kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM500.

"Usaha mengesan suspek dalam kes itu sedang giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662176 bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber : Harian Metro