Berita
Kejamnya... Lagi Kes Bunuh Kucing Masuk Dalam Mesin Basuh!
Selang 10 bulan selepas kes bunuh kucing dalam mesin basuh, tular kes terbaharu melibatkan cara sama di Kepong, Kuala Lumpur.
Menerusi kemas kini akaun Facebook Persatuan Haiwan Malaysa (MAA), seorang lelaki difahamkan telah membunuh tiga ekor kucing sekitar pukul 9.30 pagi Ahad.
"Lagi kes kucing dibunuh dengan cara memasukkan dalam mesin dobi. Kejadian berlaku di Kepong kali ini melibatkan tiga ekor kucing.
"Ini kejadian kedua pembunuhan melibatkan mesin dobi.
"Saksi yang mendakwa melibat kejadian dan pemilik kedai dobi digesa sama-sama melaporkan kepada pihak polis.
"Saksi diminta menyimpan tubuh kucing yang mati sehingga Unit Regulatori DVS datang buat siasatan. Pembuktian ini amat penting untuk kes yang kukuh dan pendakwaan," tulis akaun berkenaan.
Manakala, memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 39 tahun berhubung kejadian berkenaan.
"Wanita itu memaklumkan, dia datang ke dobi tersebut untuk mencuci pakaian dan mendapati tiga ekor kucing sudah mati di dalam mesin basuh yang berasingan di premis berkenaan," katanya.
Arifai berkata, hasil siasatan awal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki telah memasukkan tiga ekor kucing di dalam mesin basuh tersebut pada jam 5.30 pagi.
"Siasatan lanjut dirujuk kepada Pejabat Veterinar Shah Alam untuk tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya melalui kenyataan media pada Ahad.
Rakaman CCTV kejadian itu turut tular di media sosial dan menerima kecaman warganet yang mahu tindakan segera diambil pihak berkuasa.
Sebelum ini, seorang pemandu teksi berusia 42 tahun dipenjara selama dua tahun berhubung tindakan membunuh kucing bunting dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri di Gombak, Selangor pada September 2019.
Sumber: Facebook Persatuan Haiwan Malaysia, Sinar Harian
Must-Watch Video