Laman Utama
Keliru SOP Ziarah Aidilfitri Berubah, Warganet Tuntut Penjelasan Balai Polis Brickfields!
Pada Selasa lalu, Neelofa dan beberapa orang ahli keluarganya telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dipercayai untuk memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana melakukan ziarah Aidilfitri.
Siasatan dijalankan selepas sebuah video Neelofa dan ahli keluarganya yang disyaki tidak tinggal sebumbung beraya bersama, dimuat naik di Twitter dan menjadi viral.
Belum pun reda isu tersebut, media sosial kembali kecoh apabila Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung siasatan kes perlanggaran SOP melibatkan selebriti itu dan keluarganya.
Siaran media tersebut bagaimanapun menimbulkan kekeliruan di kalangan warganet apabila menyebut pergerakan di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibenarkan dan dikira sebagai satu kawasan jangkitan.
Menerusi bebenang di Twitter dan ruangan komen di Facebook rata-rata warganet mempertikai kenyataan tersebut dan mendakwa SOP telah berubah.
Mereka turut memuat naik tangkap layar SOP yang perlu dipatuhi rakyat seperti yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri mengenai ziarah Aidilfitri tidak dibenarkan.
Difahamkan, bekas peguam dikenali sebagai Sir Kamarul di Twitter, telah menghubungi balai polis Brickfields untuk mendapatkan kepastian mengenai perkara tersebut.
Namun, jawapan diterima mengejutkan apabila Sir Kamarul mendakwa seorang polis berpangkat koperal mengesahkan siaran media tersebut.
Sir Kamarul juga diminta untuk datang ke balai polis untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan dimaklumkan kes tersebut selesai.
Sehingga kini warganet masih menuntut penjelasan dari Balai Polis Brickfields berhubung SOP sebenar Ziarah Aidilfitri.
Must-Watch Video