Pelakon Luqman Hafidz memberitahu bahawa dia tidak mempunyai perancangan untuk mengadakan sebarang majlis resepsi perkahwinan dalam masa terdekat biarpun kebenaran sudah diberikan kerajaan.

Menurut Luqman, 29, ahli keluarganya juga tidak kisah sekiranya dia dan isteri memilih untuk tidak mengadakan resepsi secara besar-besaran selepas bernikah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari.

"Saya tak ada perancangan untuk mengadakan majlis resepsi dalam masa terdekat biarpun sudah dibenarkan kerajaan.

"Keluarga pun kata, kalau tak nak buat resepsi pun tak apa. Lagipun, kami sudah buat majlis makan-makan bersama ahli keluarga, kawan-kawan dan berjumpa saudara mara semua," katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Menurut pelakon filem Ola Bola itu, buat masa sekarang dia hanya memikirkan soal keperluan utama selepas mendirikan rumah tangga sahaja.

"Saya lebih pentingkan benda-benda asas, keperluan rumah. Sekarang ini pun tengah sibuk nak pindah rumah. Banyak lagi perbelanjaan lain yang perlu diambil kira.

"Lagipun, kalau buat sekarang tak semua tetamu boleh diundang. Nanti yang tak panggil merajuk. Insya-Allah akan ada, cuma bukan dalam masa terdekat.

"Mungkin tunggu apabila semua sudah kembali normal," jelasnya yang memberitahu turut menerima pemulangan deposit daripada pihak pengendali majlisnya sebelum ini.

Sebelum ini, Luqman merupakan antara artis yang melangsungkan pernikahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 20 Mac lalu.

Majlis pernikahannya dengan Nurul Atiqah Mad Apandi, 29, itu hanya dihadiri oleh 10 orang sahaja berikutan larangan mengadakan sebarang majlis keramaian.

BACA: Berkawan 4 Tahun, Luqman Hafidz Akhiri Zaman Bujang Dengan Wanita Pilihan



Bahkan, dalam tempoh itu juga, ada pasangan yang memilih untuk mengadakan pernikahan secara online.

Terdahulu, kerajaan sudah membenarkan orang ramai untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan bermula 1 Julai.

Bagaimanapun, majlis tersebut mengenakan had kepada 250 tetamu sahaja.

Saksikan drama lakonan Luqman Hafidz di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!