Berita
"Keluarlah Dengan Sesiapa Pun Sehinggalah..." - Ini Pendirian Zul Ariffin Mengenai Perhubungan
Pelakon Zul Ariffin mengakui bahawa dirinya bukanlah seorang yang suka mengongkong mana-mana wanita yang menjalinkan hubungan istimewa dengannya.
Ini kerana, menurut Zul, dia mempunyai pendirian bahawa selagi tiada ikatan yang sah menerusi perkahwinan, masing-masing perlu bersikap terbuka.
"Jika saya keluar dengan sesiapa sama ada orang dalam industri atau orang luar industri, kalau ada hal yang boleh menganggu karier saya, saya akan elak.
"Perhubungan itu apa? Perhubungan tu untuk berasa selesa, ada peneman. Keluarlah dengan siapa pun, sebab anda bukan isteri saya, sampailah ada hal yang pasti, iaitu kahwin," katanya kepada Gempak ketika ditemui sewaktu pelancaran filem Juang di ibu kota.
Menurut Zul, dia perlukan pemikiran yang begitu demi memudahkan dirinya untuk terus berurusan dengan sesiapa terutamanya apabila ia melibatkan hal kerja.
"Saya perlukan pemikiran begitu untuk mudahkan saya bekerja, uruskan perniagaan dan bersosial.
"Bayangkan kalau ada hal yang menganggu, jika tak ada pemikiran begitu, susahlah," katanya.
Begitupun, ketika ditanya sekiranya dia sudah menemui wanita yang boleh menerima dirinya sebegitu, katanya hal itu hanya terjawab sekiranya dirinya sudah berkahwin.
"Jika saya dah kahwin, dialah wanita itu," katanya.
Terdahulu, Zul pernah mendedahkan bahawa dia terpaksa menunda majlis perkahwinan yang dirancang pada tahun ini.
Begitupun, Zul tidak pernah mendedahkan identiti wanita tersebut selain hanya menjelaskan individu tersebut bukanlah orang dalam indutri dan bukan dalam kalangan Muslim.
Dalam perkembangan lain, bercakap mengenai pembabitannya dalam filem Juang, Zul akui berasa teruja kerana naskhah tersebut bakal menjadi satu karya yang merakamkan sejarah penting negara.
Filem tersebut mempunyai keunikannya tersendiri apabila menampilkan enam individu yang duduk di kerusi pengarah iaitu Eirma Fatima, Aziz M Osman, Matt Lai, Khabir Bhatia, Osman Ali dan Yusry Abdul Halim.
Filem yang menggunakan tiga rumah produksi iaitu Suhan Movies & Trading, Tropical Films dan The Film Engine itu akan menggunakan 100 orang pelakon termasuk 200 kru produksi.
Must-Watch Video