Laman Utama
Kemalangan, Tiger Woods Alami Kecederaan Serius Pada Bahagian Kaki
Bintang golf ternama Tigers Woods dilaporkan mengalami beberapa kecederaan dan dikejarkan ke hospital selepas terlibat dalam kemalangan di Los Angeles pada Selasa.
Menurut laporan media, Woods menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) secara berseorang sebelum terlibat kemalangan kira-kira jam 7.12 pagi.
Anggota penyelamat juga terpaksa menggunakan alat tertentu untuk mengeluarkan Woods yang terperangkap di dalam kenderaannya.
Menurut Ketua Bomba, Chief Daryl Osby, Woods sedar ketika dia dikeluarkan dari kereta dan berada dalam keadaan stabil.
Bagaimanapun punca kemalangan juga masih lagi dalam siasatan.
Difahamkan Woods mengalami kecederaan serius pada kedua bahagian kakinya ketika dibawa ke Pusat Perubatan Harbour-UCLA.
"Woods terbabit dalam satu kemalangan kereta pagi ini di California di mana dia mengalami beberapa kecederaan di kaki.
"Beliau kini melalui pembedahan dan kami ucapkan terima kasih atas privasi dan sokongan anda," kata ejennya, Daniel Rapaport, dalam satu kenyataan.
Kejadian berlaku berhampiran komuniti pinggir bandar Rolling Hills Estates dan Rancho Palos Verdes.
Imej video di tempat kejadian menunjukkan SUV milik Woods dalam keadaan terbalik di sisi, sekitar 30 kaki dari jalan raya, dengan bahagian depannya rosak teruk dan dikelilingi serpihan.
Terdahulu pada hujung minggu itu, Woods menganjurkan acara tahunan Genesis Invitational di Riviera Country Club.
Beliau bagaimanapun tidak bertanding dalam kejohanan itu, menyatakan masalah bahagian belakang yang dialaminya sejak sekian lama.
Sumber: NBC.news / Astro AWANI
Must-Watch Video